PENGARAH teknikal Sarawak United FC, B Sathianathan tidak menafikan perasaan rindu untuk kembali berada di garisan teknikal tepi padang sebagai pengendali pasukan.
Sathianathan mengesahkan buat masa ini beliau akan membantu persiapan pasukan namun keputusan akhir mengenai kedudukannya hanya akan dapat ditentukan selepas pertemuan dengan presiden kelab, Datuk Posa Majais.
“Sebagai jurulatih, rasa rindu mesti ada. Biarlah ada keputusan akhir dulu baru boleh saya komen tentang kemunculan semula saya sebagai jurulatih.
“(Soal pelantikan tetap) kita kena tunggu dulu perbincangan bersama Datuk Posa. Tetapi selepas ketiadaan E Elavarasan, buat masa ini saya akan turut serta membantu pasukan melakukan persiapan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Sebelum ini, Sarawak United terpaksa melepaskan khidmat Elavarasan di saat akhir selepas jurulatih itu terpilih untuk mengisi jawatan penolong jurulatih kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Mengulas mengenai sasaran Sarawak United di pentas Liga Super musim ini, Sathianathan berkata, target perlu dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek dan bukannya terus menjanjikan bulan bintang.
Bekas pengendali kebangsaan itu juga, selain cuba mengekalkan kedudukan di saingan utama pada 2023 selain cuba mengembalikan keseimbangan pasukan termasuk daripada aspek kewangan.
“Selepas apa yang berlaku, kalau boleh saya mahu lihat Sarawak dapat kekal dalam Liga Super. Ini kerana kami perlu bersikap realistik dalam membuat sebarang target.
“Kami pun tidak berbelanja besar dan langkah ini dilihat mampu utuk mengimbangi semula aspek kewangan kelab dan sebab itu saya merasakan kekal di Liga Super sudah memadai buat kami,” katanya.
Sekiranya Sathianathan disahkan sebagai Ketua Jurulatih baharu Skuad Kenyalang Emas, pengendali berusia 63 tahun itu dijangka tidak berdepan masalah besar untuk melaksanakan tugasnya memandangkan telah bergandingan dengan Elavarasan di kem Sarawak United sejak tahun lepas.
Selain itu, bekas pemain kebangsaan ini juga mempunyai rekod cemerlang dalam ‘resume’ selaku Ketua Jurulatih apabila pernah membawa Kelantan dan ATM meraih pelbagai kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
Oleh ADI SAFARMAN