KAPIT: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas kereta yang dipandunya terlanggar tiang pagar rumah di Lorong 6, Jalan Airport, di sini malam kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, PPgB Erwandy Tugor berkata, sepasukan anggota dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.40 malam untuk menjalankan operasi menyelamatkan mangsa kemalangan itu.
“Sampai di tempat kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa melanggar tiang pintu pagar utama rumah tersebut.
“Kemalangan adalah jenis “frontal impact”, terdapat seorang mangsa wanita dalam lingkungan umur 37 tahun tersepit di bahagian pemandu,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita.
Menurutnya, tindakan operasi menggunakan kaedah SAVER, penstabilan kereta dilakukan dan begitu juga dengan mangsa dengan memasang C-Collar pada leher mangsa oleh anggota Emergency Medical Rescue Services (EMRS.)
“Mangsa berada dalam keadaan sedar seterusnya pasukan penyelamat menggunakan Combi Rescue Tool untuk membuat ‘roof removal’ dengan membuat pemotongan pada bahagian A post, B post dan C post.
“Dua potongan turut dibuat di bahagian bawah pillar A.
“‘Dash board roll’ dibuat untuk merenggangkan dash board dan mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan menggunakan chain and shakle.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, pasukan perubatan dan polis turut berada di lokasi kejadian.