CHELSEA nampak cemas sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kelima Piala FA Inggeris apabila meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan liga bawahan Plymouth di Stamford Bridge, semalam.
Plymouth yang beraksi dalam Liga 1 membuat kejutan apabila memperoleh gol pembukaan hanya selepas sembilan minit permainan hasil jaringan Macaulay Gillesphey.
Chelsea yang turun tanpa pengurus, Thomas Tuchel yang disahkan positif Covid-19 beberapa jam sebelum aksi, jelas terpaksa bermandi peluh bagi menamatkan kelebihan lawan dan terpaksa menunggu hingga minit ke-41 bagi menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan, Cesar Azpilicueta.
Marcos Alonso kemudian menyelamatkan maruah The Blues dengan meledak gol kemenangan pada masa tambahan apabila kedudukan 1-1 terikat selepas 90 minit permainan.
Sementara itu, West Ham United turut bergelut sebelum meraih kemenangan ke atas Kidderminster 2-1 di Stadium Aggborough dengan perlawanan juga berlangsung lebih 120 minit.
Alex Penny mencipta kejutan buat Kidderminster apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-19 dan menyaksikan West Ham bergelut mencari gol penyamaan.
Ketika West Ham hampir mengalami detik memalukan, Declan Rice muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
West Ham sekali lagi bernasib baik pada penghujung perlawanan apabila Jarrod Bowen meledak gol kemenangan dan membawa pasukannya ke pusingan kelima
Manakala Manchester City bangkit daripada permulaan hambar dengan dua gol Riyad Mahrez membantu mereka mengatasi kelab Divisyen Dua Fulham 4-1 di Stadium Etihad.
Kelab Liga Kejuaraan itu mendahului permainan menerusi Fabio Carvalho seawal minit keempat sebelum Ilkay Gundogan menyamakan kedudukan dua minit kemudian untuk pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, hasil umpanan Mahrez.
Carvalho, 19, yang hampir menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan, menyudahkan gerakan sempurna pelawat tetapi skuad kendalian Marco Silva gagal mengekalkan kelebihan itu.
City mendahului permainan pada minit ke-13 apabila John Stones menanduk masuk bola sepakan sudut Kevin De Bruyne untuk gol keduanya musim ini.
Selepas rehat, City memastikan kemenangan menerusi Mahrez yang menyempurnakan sepakan penalti minit ke-53 apabila Jack Grealish dijatuhkan.
Tiga minit kemudian, De Bruyne sekali lagi membuat umpanan dan kali ini ia disempurnakan Mahrez untuk gol keduanya dan keempat buat City.
“Ia pertembungan tipikal Piala FA. Mereka bermula lebih baik, menjaringkan gol terlebih dulu. Saya gembira kami pantas menjaringkan gol dan mendahului.
“Secara keseluruhan ia perlawanan yang baik dan kami mengawalnya. Piala FA amat penting untuk semua orang di Man City, terutama pemain-pemain. Saya harap kami mara ke final,” kata pemain tengah City Fernandinho.-AFP