KUCHING: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) telah diperluaskan ke luar bandar Sarawak.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sarawak, Dato’ Stanley Tan berkata, KPDNHEP Sarawak turut menyahut permintaan Perdana Menteri, YAB Dato Sri Ismail Sabri dan telah menggerakkan cawangan-cawangan KPDNHEP di Negeri Sarawak.
“KPDNHEP berkerjasama denganagensi-agensi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), untuk meluaskan liputan.
“PJKM di seluruh Sarawak meliputi Kuching, Sri Aman, Saratok, Sibu, Mukah, Belaga, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, antara PJKM yang terlibat pada minggu ini adalah di Mydin Vista Tunku, Kuching; Dewan Serbaguna, Kabong; Taman Awam, Majlis Daerah Lawas dan Perkarangan Waterfront, Belaga.
“PJKM di semua lokasi tersebut telah berlangsung selama dua hari pada 29 Jan hingga 30 Jan 2022.
“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah, antaranya termasuklah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih.
“Rakyat boleh menikmati barang-barang yang ditawarkan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat,” ujarnya.
KPDNHEP mengingatkan semua peniaga agar sentiasa beretika, mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.”
Sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai boleh menyalurkan ke talian WhatsApp di 019-279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui email ke e-aduan@kpdnhep.gov.my.
Oleh AZREEN KERIA