KETUA Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
KUCHING: Ketua Menteri yakin Sarawak mampu mencapai impian untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 jika rakyat terus mempunyai tekad untuk bersatu demi perjuangan Sarawak yang lebih besar.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai sebuah kerajaan yang bersifat inklusif sentiasa berusaha untuk memastikan tiada mana-mana kumpulan atau kaum yang akan tersisih daripada mengecapi nikmat pembangunan.
“Berani saya menyatakan bahawa tiada negeri lain, mahupun di peringkat Persekutuan, yang memperuntukkan lebih 60 peratus daripada bajetnya untuk membangunkan kawasan luar bandar kecuali hanya di Sarawak.
“Walau bagaimanapun, kawasan bandar tidak juga dibiarkan dengan alasan semua sudah mencukupi di bandar. Bandaraya, bandar dan pekan perlu dimodenkan dengan kemudahan, khususnya sistem pengangkutan awam dan pengwujudan Bandaraya Pintar atau SMART Cities,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2022.
Tambah Abang Johari, sebagai ketua Kerajaan GPS, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana mengembalikan mandat kepada GPS sebagai kerajaan untuk mentadbir negeri untuk lima tahun akan datang.
Katanya, beliau mengucapkan terima kasih khususnya kepada masyarakat Cina yang telah menunjukkan keyakinan yang sangat besar terhadap pentadbiran GPS pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) lepas.
“Dan janji saya untuk penyertaan orang Cina yang lebih bermakna dalam kerajaan bukanlah janji kosong seperti yang dibuktikan dengan pelantikan Timbalan Ketua Menteri daripada masyarakat Cina.
“Kita telah berjaya kerana kita telah menunjukkan kepada rakyat bahawa GPS mampu membentuk kerajaan yang berwibawa dengan dasar pembangunan sosial dan ekonomi yang mantap.
“Yakinlah bahawa pentadbiran saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat seperti apa yang telah dijanjikan kepada mereka dalam manifesto dan kekal di landasan untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 seperti yang dirangka dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030 ) dengan pertumbuhan 6 hingga 8 peratus sehingga 2030,” ujarnya.
Ujarnya lagi, untuk mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi itu adalah satu sasaran yang tinggi, tetapi beliau yakin dengan sokongan padu rakyat, dan keberkesanan Perkhidmatan Awam Negeri, Sarawak boleh menjadi kuasa ekonomi digital, bermegah dengan infrastruktur dan utiliti yang sangat baik dan rakyat menikmati pendapatan tinggi.
“Tidak mustahil untuk mencapainya jika kita semua fokus untuk mencapai apa yang kita rancangkan.
“Saya mahu penjawat awam kita bekerja keras untuk memastikan semua projek yang telah dilancarkan siap tepat pada masanya atau tanpa berlengah lagi. Memandangkan pandemik ini telah reda, tidak ada sebab untuk penyiapan projek ditangguhkan demi manfaat rakyat dan mengubah infrastruktur kita,” katanya.