KEHADIRAN jurulatih tempatan yang baharu, Sufian Ibrahim diyakini mampu membawa nafas baharu kepada landskap pembangunan bola sepak di bahagian Sri Aman.
Pengurus pasukan Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata sentuhan daripada jurulatih yang merupakan anak jati Sri Aman itu mampu memberikan impak yang positif kerana telah berjaya dan terbukti membawa pasukan hingga bergelar juara.
“Beliau (Sufian) telah banyak membawa perubahan dalam sistem permainan sesenuah pasukan yang beliau kendalikan.
“Ia bermula semasa beliau bersama Firdaus Morshidi iaitu ketua jurulatih Maksak Sarawak 2019, yang berjaya mara ke pusingan separuh akhir dan mendapat tempat ketiga pada kejohanan yang diadakan di Pahang.
“Selepas itu, perjalanan karier beliau sebagai jurulatih berkembang sebaik sahaja diamanahkan mengendalikan pasukan Datus United Veteran pada saingan Piala Datuk Francis Harden Hollis 2020 dan muncul bergelar juara,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Awang Putrayusrie berkata selepas kejayaan pertama membawa pasukan Datus United Veteran, beliau sekali lagi ditugaskan memimpin pasukan Datus United dalam kancah Liga Sri Aman 2021.
“Tapi sayangnya saingan Liga Sri Aman 2021 belum lagi sampai ke penghujungnya disebabkan pandemik Covid-19, namun setakat empat perlawanan yang ditempuhi Datus United kekal berada di puncak Liga Sri Aman 2021.
“Dalam masa sama sekali lagi beliau (Sufian) telah menerima tugas getir apabila beliau dilantik menjadi ketua jurulatih Sri Aman FA bawah 25 tahun Liga SSC-FAS 2021.
“Kali ini beliau telah membuktikan bahawa jurulatih Kelas B itu mampu membawa pasukan ke peringkat lebih tinggi dengan perubahan corak permainan sehingga mampu bergelar juara dan melakar sejarah dengan mengakhiri penantian selama 30 tahun kejuaraan pasukan Sri Aman,” ujarnya.
Jelas Awang Putrayusrie, dengan titik tolak kejayaan itu, adalah menjadi sandaran agar lebih ramai lagi jurulatih dari bahagian Sri Aman dalam usaha melatih dan melahir pemain bola sepak tempatan berkaliber yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Begitupun, beliau berkata untuk mendapatkan khidmat pemain tempatan Sarawak bukannya mudah, sekali gus memberi cabaran besar serta menuntut pihak berkenaan mencungkil potensi jurulatih sebagai penggerak usaha tersebut.