JIKA seseorang bergerak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Bandar Raya Kuching, sebuah patung gergasi Burung Kenyalang boleh dilihat di jejambat BDC/Hui Sing bagi mengalu-alukan kedatangan pelawat.
Di Sarawak, Burung Kenyalang ialah burung yang dihormati, khasnya dalam kalangan penduduk tempatan. Ia juga merupakan spesies burung yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar sejak 1998 dengan hukuman yang ketat terhadap mereka yang memburu atau memelihara mereka.
Sarawak juga dikenali sebagai Bumi Kenyalang, justeru menjadikan burung istimewa itu sebagai kebanggaan dan simbol negeri.
Burung Kenyalang juga dikenali sebagai spesies berkongsi dan kebiasaannya mereka berkongsi makanan antara satu sama lain. Syabas dan pujian kepada pemimpin kita dahulu dan sekarang yang bijak memberi penghormatan kepada Burung Kenyalang dengan memilih burung itu sebagai lambang negeri. Burung Kenyalang ialah burung yang megah dan lambang kekuatan bagi rakyat Sarawak.
Pembentukan GPS untuk Sarawak lebih baik
Pada 9 Januari 2019, politik Sarawak memasuki fasa baharu apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuhkan secara rasmi dan logo yang menggambarkan burung Kenyalang, diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Ibu Pejabat PBB di Kuching.
Dalam bentuk huruf ‘S’, Abang Johari berkata, konsep utama logo GPS yang menggambarkan Kenyalang mencerminkan visi dan slogan parti, iaitu ‘Sarawak Didahulukan’.
Majlis pelancaran itu adalah hari bersejarah bagi politik Sarawak kerana mereka telah membentuk parti gabungan berasaskan ‘anak-anak’ Sarawak untuk memimpin dan memberi hala tuju untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat Sarawak di Malaysia.
Memandangkan Kenyalang ialah spesies yang sangat dilindungi, maka adalah menjadi tanggungjawab semua ahli GPS secara berterusan melindungi rakyat Sarawak.
Abang Johari berkata, warna merah pada logo itu menggambarkan keluhuran kedua-dua Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, manakala warna putih pula melambangkan keadilan Kedaulatan Undang-Undang dan warna hitam melambangkan rukun gabungan itu untuk menegakkan objektifnya.
“Tiga warna itu menunjukkan bahawa GPS ialah gabungan yang akan mempertahankan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Malaysia dan Sarawak,” katanya lagi.
Selaras dengan semangat demokrasi, beliau berkata GPS akan terus membawa keadilan kepada semua kaum dan agama di Sarawak dan memastikan Sarawak dapat membawa nilai tambah kepada kehidupan dan ekonomi negeri.
“Agama anda adalah agama anda, agama saya adalah agama saya,” katanya yang sentiasa mengulangi pendahulunya dan menekankan kebebasan beragama di Sarawak.
“Kepada ahli-ahli GPS, marilah kita bekerjasama untuk mempertahankan Sarawak,” kata Abang Johari kepada empat parti-parti gabungan GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Dan, tahun ini merupakan tahun ke-4 Abang Johari menerajui negeri ini selepas mengambil alih daripada Ketua Menteri sebelumnya, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada 13 Januari 2017.
Sejak itu, Abang Johari tidak berhenti turun padang untuk meneruskan legasi Tok Nan bagi memastikan Sarawak menuju ke arah yang betul untuk mencapai pembangunan dan kemajuan.
Lebih daripada 100 Inisiatif
Sehingga kini, Abang Johari telah melaksanakan lebih daripada 100 inisiatif yang sebenarnya merupakan satu rekod dengan mengambil kira tempoh beliau dilantik sebagai Ketua Menteri. Hal sedemikian ini jelas mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan beliau dalam penyelesaian masalah rakyat dan selaras dengan slogan ‘Sarawak Diutamakan’.
Sudah tentu, beberapa inisiatif dalam peringkat perancangan, manakala ada yang sudah dilaksanakan dan ada yang baru bermula. Lagipun, ‘Rom tidak dibina dalam masa sehari’, (seperti kata pepatah) yang bermaksud bahawa untuk melakukan sesuatu kerja dengan betul mengambil masa supaya ia memberi impak yang ketara kepada rakyat. Pembangunan memerlukan masa untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang teliti.
Mengutamakan ‘Sarawak’ adalah prioritinya dan beliau mengubah negeri ini dengan pelbagai inisiatif dan semangatnya untuk mengangkat Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
Abang Johari merupakan seseorang yang sangat bersemangat melihat rakyat Sarawak menerima ekonomi digital. Beliau teruja melihat kawasan luar bandar semakin maju walaupun ia adalah tugas yang sukar kerana terdapat tidak kurang daripada 5,000 rumah panjang dan kampung di seluruh Sarawak.
Apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah dari Mei 2018 hingga Februari 2020, mereka telah membatalkan dana untuk beberapa projek infrastruktur berimpak tinggi seperti Jambatan Rambungan, Igan dan Batang Lupar tetapi, Abang Jo bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah. Beliau segera mendapatkan Bajet Sarawak untuk membiayai ketiga-tiga projek itu bagi memastikan ia siap demi kepentingan rakyat.
Lima peratus cukai jualan ke atas produk petroleum
Pengalaman luas Abang Johari sebagai pemimpin ditambah dengan pegawai berkebolehan di sekelilingnya meletakkan beliau secara strategik memperkenalkan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang merupakan langkah bijak untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan daripada sumber Sarawak.
“Ini adalah salah satu cara Kerajaan Sarawak boleh memberi kembali kepada rakyat dengan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan dengan wang yang diperoleh daripada cukai,” katanya dalam banyak majlis rasminya.
Sehari selepas sambutan Hari Malaysia pada 17 September 2020, seperti yang dijangkakan, Petronas akhirnya membuat pembayaran pertama cukai jualan sebanyak RM2.95 bilion yang pastinya merangsang pembangunan Sarawak. Dana ini juga digunakan sepenuhnya untuk membiayai beberapa jambatan di kawasan pesisir pantai dan projek infrastruktur lain.
A Man of Many Firsts
Abang Jo juga ialah seorang yang bertanggungjawab membawa banyak penubuhan agensi untuk membangunkan rakyat Sarawak. Beliau telah memperkenalkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), mempertingkatkan Ekonomi Digital, memperkenalkan bas hidrogen, mewujudkan Agensi Pembangunan Rajang Atas (URDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Agensi Pembangunan Samarahan Wilayah Bersepadu (IRSDA) dan lain-lain lagi demi Sarawak yang maju.
Di bawah pentadbiran beliau, satu lagi sejarah tercipta apabila Bandar Kapit akhirnya di sambung ke seluruh Sarawak dengan siapnya projek jalan raya pada tahun 2020.
Ini merupakan sebuah hadiah besar untuk penduduk di Bahagian Kapit dan ia adalah impian yang menjadi kenyataan kepada hampir 90,000 penduduk di Kapit dan Song yang telah menunggu selama bertahun-tahun untuk jalan penghubung itu menjadi kenyataan. Tidak lupa juga kita bahawa dalam Negara Malaysia, hanya Negeri Sarawak yang ada menubuhkan sebuah agensi, dikenali sebagai Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk melihat kepada kebajikan dan keperluan agama-agama lain.
Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030
Pada Mei 2020, ketika dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, Ketua Menteri masih berjaya membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) untuk merangka Strategi Pembangunan PascaCovid-19 2030 (PCDS) sebab ini sangat penting untuk masa hadapan Sarawak.
“Saya yakin, kita boleh merealisasikan aspirasi Sarawak pada tahun 2030 kerana kita mempunyai Perkhidmatan Awam yang cekap dan sektor swasta yang proaktif yang bekerja keras untuk membangunkan Sarawak,” katanya.
Keprihatinan Ketua Menteri terhadap rakyat Sarawak sekali lagi disaksikan dalam Belanjawan Sarawak 2022 yang disifatkannya sebagai bajet pengembangan, memfokuskan kepada pemulihan kita daripada wabak Covid-19.
“Bajet ini akan memberi tumpuan terutamanya untuk melindungi dan memulihkan kehidupan rakyat dan perniagaan kecil. Ia adalah belanjawan berteraskan rakyat,” tambahnya.
Sebagai bukti keprihatinan beliau terhadap rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Abang Johari telah melancarkan tujuh siri bantuan kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM5.3 bilion.
Beliau membayangkan bahawa menjelang 2030, “Sarawak akan menjadi masyarakat yang maju yang didorong oleh data dan inovasi di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan”.
Beliau berharap agar semua rakyat Sarawak akan bergema dengan slogan beliau iaitu ‘Sarawak First’ untuk memastikan Burung Kenyalang dalam GPS berjaya terbang tinggi dengan membawa bersamanya visi, harapan, aspirasi dan masa depan yang sentiasa dicita-citakan oleh seluruh rakyat Sarawak.
Apa yang penting sekarang adalah untuk semua rakyat Sarawak yang cintakan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan kemajuan untuk terus memberikan Abang Jo dan pasukan GPSnya sokongan dan kepercayaan padu agar mereka dapat terus memberikan yang terbaik kepada Sarawak.
Oleh SAMUEL BAY