Jika Bukit Sadok suatu ketika dahulu menjadi kubu kuat Rentap untuk membebaskan penduduk daripada cengkaman penjajah, Bukit Saban pula menjadi medan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas meneruskan perjuangan pahlawan itu dengan membebaskan penduduknya daripada cengkaman kemiskinan.
Perjuangan kedua-dua pahlawan ini sama tekadnya untuk membawa kemakmuran kepada penduduk dan membawa mereka ke dalam arus pembangunan pesat yang berlaku di seluruh Sarawak sekarang ini.
Justeru untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 ini, Uggah akan menjulang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Bukit Saban dengan misi dan visi untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di konstituensi ini.
TERKEHADAPAN
Seperti rakyat Sarawak yang lain, penduduk di Bukit Saban kini sudah menikmati pelbagai kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik 24 jam sehari, bekalan air bersih (terawat dan tidak terawat) serta jalinan jalan raya untuk menghubungkan kawasan ini dengan kawasan lain.
“Dari segi infrastruktur, Bukit Saban agak ke hadapan. Kemakmuran penduduk juga tidak dapat disangkal, lihat sahaja jumlah kenderaan pacuan empat roda yang semakin bertambah di kawasan saya kata beliau. Itu bukti bahawa kehidupan penduduk sudah bertambah baik,” kata Uggah.
Bagi melonjakkan lagi taraf hidup rakyat, kerajaan juga telah merancang pelbagai projek ekonomi di kawasan ini, terutama projek pertanian kerana kawasan ini memang mempunyai ramai pekebun lada hitam, getah, kelapa sawit serta kegiatan penternakan.
“Kita juga mebantu dari segi perumahan, sama ada dari segi pinjaman perumahan atau membaiki rumah-rumah penduduk,” kata beliau.
Mengakui capaian jalur lebar di kawasan ini masih rendah tetapi Uggah berkata sekarang ini sudah banyak menara telekomunikasi yang dibina di kawasan bagi bagi tujuan menaik taraf sistem berkenaan.
Sementara itu, sistem Connect Me yang sudah dilaksanakan, member manfaat kepada lebih 70 peratus penduduk bagi kemudahan telefon dan lain-lain keperluan.
Aspek kesihatan juga menjadi fokus utama Uggah di DUN ini apabila beliau mengemukakan cadangann untuk membina sebuah klinik baharu di pekan Spaoh untuk Rancangan Malaysia Ke-12. Buat masa ini projek berkenaan masih menunggu kelulusan.
“Bagaimanapun, penduduk di sini menikmati kemudahan kesihatan melalui Hospital Betong, sebuah klinik di Simpang Layar dan sebuah klinik di Spaoh,” kata beliau.
PROJEK BERIMPAK BESAR
Melihat projek-projek yang dirancang untuk DUN Bukit Saban, sudah wujud gambaran bagaimana pesatnya pembangunan yang akan berlaku di kawasan ini apabila projek-projek berimpak tinggi ini siap nanti.
Salah satu projek mega adalah lapangan terbang STOL (short take off & landing airport) di Bebuling yang menelan kos RM108 juta . Projek ini sedang rancak disiapkan dan bakal disokong dengan dua lagi projek mega iaitu Terminal Bahan Makanan dan Taman Pertanian Bebuling yang dianggarkan bernilai RM50 juta.
“Kita nak ada sinergi jadi kita akan wujudkan Terminal Bahan Makanan yang berfungsi untuk jual beli hasil dari Bukit Saban dan kawasan lain berhampiran dan STOLport ini pula akan membawa keluar produk dari kawasan ini ke luar,” kata beliau.
Bagi melengkapi sistem mega ini, jalan raya di kawasan STOLport ini akan dinaik taraf dengan kos RM116 juta.
Untuk mempermudahkan lagi hubungan di antara semua kawasan, satu jambatan yang diberi nama Jambatan Ikonik Sungai Paku yang bernilai RM26.7 juta akan menyambung kawasan pekan dengan kawasan seberang pasar.
“Kita juga tidak melupakan keperluan belia. Untuk itu kita membina Kompleks Sukan Spaoh bernilai RM11 juta dan untuk aktiviti riadah pula, sudah ada Tebingan Spaoh yang dibina dengan kos RM5 juta,” tambah beliau.
Tidak mahu penduduk Spaoh ketinggalan di dalam pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, sebuah Pusat Digital Komuniti bernilai RM3 juta sedang dalam proses pembinaan, manakala Pejabat Daerah Kecil yang baharu pula kini sudah digunapakai.
Pembangunan pesat di sini secara langsung akan merancakkan lagi aktiviti jual beli, justeru 14 unit rumah kedai akan ditambah bagi tujuan berkenaan, manakala untuk keperluan perumahan penduduk, projek Rumah Permata Spektra Spaoh yang bernilai RM41 juta sedang dalam pelaksanaan.
Infrastruktur jalur lebar juga pesat dibangunkan di kawasan ini, antaranya termasuklah penyiapan 12 menara telekomunikasi milik Suruhanjaya Multi Media Malaysia/SACOFA, 11 menara telekomunikasi Sarawak Multimedia Authority (SMA)/MCMC dan Sembilan lagi menara SMA dicadang untuk dibina di sini.
5 TAHUN AKAN DATANG
“Infrastruktur sudah ada dan hampir lengkap, jadi langkah seterusnya adalah mencari jalan bagaimana meningkatkan pendapatan penduduk. Kita ada kawasan tanah luas yang masih banyak belum diterokai dan kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang dapat membantu seperti SALCRA,” kata beliau.
Salah satu strategi adalah dengan melaksanakan pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik , penggunaan teknologi terkini, Internet of Things (IOT), penggunaan benih atau varieti baharu dan sebagainya bagi meningkatkan pendapatan agroprenuer.
“Dalam masa yang sama kita nak bangunkan industri kampong kerana di kawasan ini ramai pengeluar barangan makanan dan produk pertanian. Kita harap mereka akan meneroka produk hiliran bagi menjana pendapatan lebih,” ujar Uggah.
Untuk menyokong hasrat ini, sebuah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan bernilai RM4 juta sedang dalam pembinaan di Simpang Layar dan dijangka member banyak manfaat kepada usahawan kecil-kecilan di sini.
Isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) juga menjadi keutamaan Uggah. Untuk itu, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan diberikan kepada pengukuran tanah NCR seluas 82,000 hektar di Daerah Betong untuk digazet di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Selain itu, bekas kubu pertahanan Rentap, Bukit Sadok akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, bagi melengkapi tarikan lain seperti rumah panjang dan alam semulajadi di kawasan tersebut.
MISI DAN VISI
Pembangunan pesat tidak akan membawa makna jika penduduk tidak bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain. Perpaduan adalah asas kepada pembangunan keseluruhan di mana-mana kawasan.
“Kita amat berharap penduduk Bukit Saban akan terus bersatu padu dan sama-sama memainkan peranan untuk memperkasa kehidupan satu sama lain ,” kata beliau.
Justeru penduduk di konstituensi ini diminta menyokong setiap agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan dan bersedia menyesuaikan diri dengan suasana baharu, terutama teknologi baharu untuk meningkatkan pendapatan.
“Biarlah esok lebih senang dari hari ini dan lusa pula lebih baik dari esok,” ujar beliau mengakhiri perbualan.
Oleh HAINI DARANI