SIMANGGANG: Rakyat perlu memberi sokongan penuh terhadap calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan mereka pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sokongan tersebut penting demi membolehkan mereka menyesuaikan diri sebagai wakil rakyat baharu di kawasan DUN itu nanti.
“Tiada calon terutama sekali daripada golongan belia yang boleh terus menjadi bagus apabila diangkat sebagai wakil rakyat baharu di sesebuah kawasan DUN itu selepas berakhir sesebuah pilihan raya.
“Atas sebab itu penting untuk rakyat memahami keadaan ini. Orang baharu kita (pemimpin GPS) akan rasa gementar dan berdebar-debar ketika berhadapan dengan khalayak ramai sebelum mereka mula menyesuaikan diri selepas tempoh enam bulan,” kata beliau.
Karim yang Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Belia Prihatin Sarawak @ Lingga, Sri Aman bertempat di sebuah hotel dalam bandar ini petang Ahad lepas.
Selain itu, beliau melalui ucapannya juga berkata seseorang wakil rakyat baharu itu memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk menonjolkan perubahan dan prestasi kepimpinan yang baik dalam kawasan tadbir sendiri.
“Perubahan dan prestasi kepimpinan ini tidak akan terserlah pada penggal pertama pentadbirannya kerana wakil rakyat baharu itu terpaksa memberi lebih banyak fokus dalam memikir dan merancang projek pembangunan yang terbaik di kawasan DUNnya.
“Rancang pembangunan itu kemudiannya dilaksana pada penggal kedua dengan wakil rakyat tersebut akan lebih memahami lebih banyak kehendak rakyat di kawasan tadbirnya selepas penggal ketiga dan yang seterusnya,” kata beliau.
Justeru Karim berharap agar pengundi memberi sokongan padu kepada calon muka baharu dan muda terutama sekali dari GPS pada PRN-12 nanti agar mereka dapat menjadi pelapis kepimpinan negeri pada masa akan datang datang.
Hadir sama ialah Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Residen Bahagian Sri Aman, Datu Indit Bangai, mantan ADUN Lingga, Dato Simoi Peri, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Nancy Jolhi dan calon GPS DUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Program berkenaan juga turut diserikan dengan sesi persembahan tarian kebudayaan, penyerahan sumbangan Bantuan Pandemik Covid-19 kepada 60 penerima, cabutan bertuah dan sesi bergambar kenangan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG