SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mempunyai perancangan yang besar untuk membangun kawasan Bukit Assek dan hal ini dapat direalisasikan dengan adanya seorang wakil rakyat GPS di kawasan tersebut.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, beliau perlu menjadi wakil rakyat untuk melakukan apa-apa yang tidak boleh dilakukannya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
“Kita semua tahu, kawasan ini ialah kawasan tanah paya. Jadi, kita memerlukan suatu perancangan lengkap untuk menyelesaikan semua masalah ini.
“Selepas 50 atau 60 tahun, banyak kemudahan infrastruktur di sini rosak. Oleh sebab itu, kita banyak mengalami masalah dengan jalan dan sistem perparitan khususnya. Jadi, apa-apa yang saya lakukan sekarang (sebagai ahli majlis MPS) sebenarnya adalah hanya penyelesaian sementara.
“Tidak kira apa-apa sahaja yang saya lakukan, walau ada perancangan untuk kawasan ini, tetapi dengan kapasiti sebagai ahli majlis, saya tidak dapat menyelesaikan semua masalah ini secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Chieng berkata demikian bagi membidas kenyataan lawannya, calon DAP Irene Chang menerusi hantaran di Facebooknya dengan mengatakan bahawa walaupun menjadi ahli majlis, Chieng masih tidak dapat menyelesaikan masalah seperti longkang dan isu jalan raya di kawasan Bukit Assek.
Katanya, Bukit Assek memerlukan satu perancangan pembangunan semula yang lebih besar dan komprehensif jika mahu menyelesaikan semua isu ini.
Menurut beliau, pelan pembangunan semula Bukit Assek adalah pelan yang terdiri daripada pelbagai bentuk seperti komersil, kediaman, penjagaan kesihatan, riadah dan sebagainya.
Beliau berkata, pembinaan semula kawasan Bukit Assek akan mengubah keseluruhan landskap kawasan itu.
“Saya percaya dengan Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek, kita akan dapat menyelesaikan semua masalah ini seperti longkang, jalan raya, kebersihan dan sebagainya,” katanya.
Mengenai peranan DAP yang memegang kawasan itu selama 20 tahun, Chieng berkata, DAP tetap tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan kawasan itu.
Beliau berkata, jika memberi DAP selama lima tahun lagi, apa-apa yang perlu dilakukan tidak dapat dicapai.
“Sangat menyedihkan untuk mengatakan bahawa Chang sentiasa menggunakan ia sebagai alasan. Setiap kali bercerita tentang pembangunan di Bukit Assek, beliau selalu memberi alasan.
“Beliau selalu berkata pembangunan adalah urusan kerajaan negeri, tetapi kita perlu faham bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menjadi Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan, pasti mereka mempunyai sumber untuk membangunkan semula kawasan ini.
“Ia adalah soal sama ada Chang telah menyediakan dan membentangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembiayaan atau tidak,” katanya.