KUCHING: Keprihatinan Kerajaan Sarawak dibuktikan apabila turut memberikan pengamal media di Sarawak pembayaran sekali berjumlah RM1,500 di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, barisan kabinet negeri telah bersetuju untuk memberikan insentif itu kerana petugas media juga berkhidmat di hadapan dan turut berdepan risiko jangkitan Covid-19.
“Saya juga ingin mengumumkan bantuan sekali gus RM1,500 kepada ahli-ahli media dengan anggaran 500 ahli sebagai menghargai sumbangan media.
“Anda (pengamal media) juga merupakan barisan hadapan, dan anda menghadapi risiko ketika keluar untuk melaporkan berita kepada rakyat,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media khas pengumuman pakej BKSS 3.0 bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Menurutnya, dianggarkan ada sekitar 500 pengamal media di negeri ini akan menerima manfaat itu dan pihak kerajaan akan menghubungi persatuan wartawan untuk mendapatkan perincian maklumat para pengamal media di Sarawak untuk mengedarkan insentif tersebut.
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan pakej BKSS 3.0 berjumlah RM300 juta yang merangkumi tujuh langkah yang lebih inklusif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di tengah-tengah pandemik Covid-19.