Fadillah sedia bantu Satok Digital Centre bekerjasama dengan Microsoft

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Fadillah Yusof ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pemula dan Digital Satok hari ini.

KUCHING, 29 Nov: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof bersedia membantu Pusat Pemula dan Digital Satok menjalinkan kerjasama dengan Microsoft bagi memperluas peluang latihan dan pensijilan kemahiran digital kepada masyarakat, khususnya golongan muda di Sarawak.

Beliau berkata kerjasama dengan syarikat teknologi berkenaan mampu membantu pusat itu menyediakan program latihan bersesuaian dengan keperluan industri, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknologi digital.

Menurutnya, penguasaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) semakin penting memandangkan perkembangan teknologi berkenaan kini mempengaruhi pelbagai sektor ekonomi.

“Saya percaya Microsoft boleh membantu kita mengenal pasti bidang yang boleh dipertingkatkan, termasuk melalui program latihan yang disediakan di pusat ini.

“Insya-Allah, kita boleh melaksanakan perkara tersebut dan saya akan membantu dalam usaha berkenaan kerana penguasaan bidang teknologi ini amat penting bukan sahaja untuk menjalankan perniagaan, malah membuka peluang kepada anak-anak muda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pemula dan Digital Satok di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata golongan muda yang memiliki kepakaran serta pensijilan profesional daripada syarikat teknologi seperti Microsoft mempunyai peluang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Katanya, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran digital turut meningkat seiring perkembangan sektor tenaga, khususnya dalam penggunaan teknologi grid pintar, sistem penghantaran serta pemantauan tenaga.

“Pada masa ini, kita bercakap mengenai keperluan grid pintar, sistem penghantaran yang lebih cekap serta pemantauan yang lebih berkesan, khususnya bagi menghadapi permintaan tenaga pada masa hadapan, termasuk daripada pusat data dan sektor-sektor berkaitan,” katanya.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara organisasi tempatan dengan agensi berkaitan bagi memperkukuh pembangunan bakat digital, keusahawanan serta peluang ekonomi masyarakat setempat.

Antara kerjasama yang dimeterai ialah antara Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) Satok dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Selain itu, memorandum persefahaman turut dimeterai antara Biro Pendidikan DUN Satok dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).

Oleh Shahrul Qaizat