ASAJAYA, 29 Nov: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Asajaya terus diiktiraf sebagai antara penggerak penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kekuatan pergerakan itu terletak pada semangat kesatuan serta komitmen setiap anggota dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata, penglibatan aktif golongan wanita dalam aktiviti lapangan membolehkan mereka mendekati masyarakat secara langsung, sekali gus memastikan keperluan penduduk setempat terus mendapat perhatian.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, jentera wanita sentiasa memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai program aktiviti kemasyarakatan dan mendekatkan kepimpinan dengan penduduk.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Keluarga Wanita Asajaya yang berlangsung di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Wanita PBB Cawangan Asajaya atas komitmen dan sokongan berterusan yang diberikan, termasuk sepanjang tempoh pilihan raya.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan semangat kebersamaan dalam kalangan anggota bagi memastikan pergerakan itu terus aktif dalam masyarakat.





