Awang Nashfarini tekad teruskan pembangunan, utamakan suara rakyat Beting Maro

Facebook
WhatsApp
MERAIKAN kejayaan selepas Awang Nashfarini diumum menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13. Foto: P201 Batang Lupar

PUSA, 28 Nov: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini bertekad meneruskan agenda pembangunan kawasan itu dengan memberi keutamaan kepada isu dan keperluan rakyat.

Beliau yang diumumkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyifatkan kemenangan itu sebagai satu amanah serta tanda kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya untuk meneruskan pembangunan di Beting Maro.

Menurutnya, langkah pertama selepas menerima mandat tersebut adalah turun padang ke seluruh kawasan DUN Beting Maro bagi bertemu rakyat, mendengar permasalahan serta mengenal pasti isu-isu yang perlu diberikan perhatian segera.

“Saya telah diumumkan sebagai pemenang untuk kerusi DUN Beting Maro. Insya-Allah, selepas ini saya akan turun padang dan berjumpa dengan rakyat, terutamanya untuk cuba menyelesaikan isu-isu penting yang telah disuarakan oleh rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama lebih erat dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta agensi kerajaan berkaitan akan diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu juga akan diberi perhatian, dengan penambahbaikan dilakukan terhadap perkara yang masih memerlukan pembaharuan.

“Apa yang baik daripada usaha bekas ADUN terdahulu kita akan teruskan, manakala apa yang masih kurang akan kita cuba perbaiki supaya menjadi lebih baik,” ujarnya.

Mengulas kemenangan tanpa bertanding, Awang Nashfarini mengakui tidak pernah menjangkakan perkara itu berlaku, namun menegaskan dirinya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berdepan pencabar dalam pilihan raya.

Beliau turut menyifatkan sokongan yang diterima sebagai suntikan semangat dan isyarat perpaduan rakyat Beting Maro dalam memberikan kepercayaan kepadanya untuk menerajui kawasan berkenaan.

“Saya sangat berbangga kerana sokongan hari ini menunjukkan rakyat Beting Maro bersatu padu dan memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerajui DUN N.29 Beting Maro.

“Saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan rakyat kepada saya,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Beting Maro atas sokongan yang diberikan dan berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk membawa pembangunan serta memperjuangkan kepentingan penduduk di kawasan itu.

Turut hadir bagi memberi sokongan kepada Awang Nashfarini sebelum proses penamaan calon pagi tadi iaitu Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Seri Rohani Abdul Karim serta bekas ADUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor.

Oleh Adi Safarman