MUKAH, 28 Nov: Penyandang kerusi N.57 Tellian, Royston Valentine, diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 selepas hanya satu borang pencalonan diterima pada hari penamaan calon hari ini.
Pengumuman kemenangan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN N.57 Tellian, Mohd Amirul Valentine Laiseh, pada 10.15 pagi di Pusat Penamaan Calon, Menara Pehin Setiaraja, Jalan Setia 1, di sini, hari ini.
Terdahulu, Royston yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiba di pusat penamaan calon pada 8.30 pagi diiringi isterinya, Beatrice Zuras serta beberapa pemimpin masyarakat dan ahli parti.
Ketibaan beliau turut disambut kira-kira 1,200 penyokong yang bergerak dari Masjid Setiaraja Mukah menuju ke pusat penamaan calon.

Suasana di pusat penamaan calon berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai sebelum Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Petrone Benedict Sunggoh, mengumumkan pembukaan pusat berkenaan pada 9.00 pagi.
Royston kemudian menyerahkan borang pencalonannya pada 9.04 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya disertai pencadang, Rantai Anak Melin dan penyokong, Kang Boon Eong.
Selepas tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup pada 10.00 pagi, hanya satu borang pencalonan diterima, sekali gus menyaksikan Royston diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N.57 Tellian.
Turut dihadiri Presiden Persekutuan Melanau Sarawak, Tan Sri Muhammad Leo Toyad, Ketua Pemuda PBB Cawangan N.57 Tellian, Johann Harris bin Sulaiman dan Timbalan Ketua Cawangan PBB N.57 Tellian, Jay bin Keram.
Oleh Adibfahmy




