KUCHING, 28 Nov: Sebanyak 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menyaksikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, manakala 15 kerusi menyaksikan persaingan tiga penjuru dan sembilan lagi empat penjuru.
Berdasarkan paparan Dashboard Penamaan Calon PRN Sarawak 2026 oleh Bernama, sebanyak 53 kerusi akan menyaksikan persaingan pada hari pengundian, 12 Disember ini, manakala 29 kerusi lagi telah dimenangi tanpa bertanding.
Bagi pertandingan satu lawan satu, kawasan yang terlibat ialah Tasik Biru, Batu Kitang, Batu Kawah, Stakan, Tarat, Balai Ringin, Batang Ai, Kalaka, Kabong, Meradong, Meluan, Machan, Dudong, Bawang Assan, Balingian, Tamin, Kakus, Pelagus, Baleh, Belaga, Murum, Jepak, Tanjong Batu, Kemena, Piasau, Marudi, Bukit Kota, Batu Danau dan Ba’kelalan.
Sementara itu, 15 kawasan yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Padungan, Pending, Kota Sentosa, Serembu, Kedup, Bukit Semuja, Bukit Begunan, Simanggang, Jemoreng, Pakan, Ngemah, Pelawan, Samalaju, Pujut dan Mulu.
Bagi pertandingan empat penjuru pula, sembilan kawasan terlibat ialah Opar, Batu Lintang, Mambong, Tebedu, Krian, Bukit Assek, Nangka, Senadin dan Telang Usan.
Secara keseluruhannya, PRN Sarawak ke-13 menyaksikan 168 calon disahkan bertanding bagi merebut 82 kerusi DUN, dengan 29 calon memperoleh kemenangan tanpa bertanding.
Hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember.





