KOTA SENTOSA, 28 Nov: Persaingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Penyokong SUPP dan DAP hadir mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon, dengan kedua-dua kumpulan melaungkan slogan parti.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen tiba kira-kira 8.30 pagi bersama pencadang, Leslie Law Hoi Yew dan penyokong, Sylvester Lim Kai Bin, selain diiringi barisan pemimpin serta penyokong parti sebelum menyerahkan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Beliau kemudian disusuli calon GPS, Wilfred Yap Yau Sin, yang hadir bersama pencadang, Wong Ka Chuang dan penyokong, Chai Yong Liang.
Calon PBK, Lue Cheng Hin turut tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi penyokongnya, bersama pencadang, Chai Ko Pun dan penyokong, Wong Pik Ming.
Ketiga-tiga calon kemudian melengkapkan proses penamaan calon mengikut prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hazwan.
Pertandingan di Kota Sentosa dijangka mendapat perhatian, khususnya berikutan persaingan antara DAP dan GPS pada pilihan raya negeri sebelum ini yang menyaksikan kerusi berkenaan bertukar tangan.
Pada PRN Sarawak 2021, GPS berjaya merampas kerusi itu daripada DAP selepas parti berkenaan memegangnya selama tiga penggal berturut-turut.
Wilfred Yap memperoleh 5,806 undi untuk menewaskan calon DAP, Michael Kong Feng Nian, yang meraih 4,123 undi, sekali gus memperoleh majoriti 1,683 undi.
Oleh Connie Chieng




