SIMANGGANG, 27 Nov: Kehadiran seekor ular rusuk kerbau sepanjang 0.9 meter di rak hadapan sebuah rumah di Taman Azba, di sini, mencetuskan kebimbangan penghuni sebelum berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman hari ini.
Menurut kenyataan APM Daerah Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kehadiran reptilia berkenaan di kawasan hadapan rumah pengadu.
Susulan aduan itu, seramai tiga anggota APM digerakkan ke lokasi menggunakan Kenderaan Penyelamat Ringan (LRV) jenis JMC bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati ular jenis rusuk kerbau itu berada di atas rak hadapan rumah sebelum anggota bertugas berjaya menangkapnya menggunakan teknik menyepit dengan selamat dan terkawal.
Operasi kemudian ditamatkan dan semua anggota kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman.
APM Daerah Sri Aman dalam kenyataan itu menegaskan komitmennya untuk terus memberikan bantuan kecemasan kepada masyarakat serta memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri ular sekiranya tidak mempunyai kemahiran serta peralatan bersesuaian.
Sebaliknya, orang awam diminta menjauhkan diri, memantau pergerakan ular dari jarak selamat dan segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi APM Daerah Sri Aman menerusi talian 083-320973.
Oleh Adi Safarman



