KUCHING, 27 Nov: Parti Wawasan Rakyat (WAWASAN) menjadi parti terbaharu mengumumkan keputusan tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.
Presidennya, Affendi Jeman berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan strategik bagi mengutamakan kestabilan politik, perpaduan, pembangunan serta kepentingan rakyat Sarawak.
“Keputusan ini bukanlah pengunduran daripada perjuangan politik, tetapi merupakan keputusan strategik demi mengutamakan kestabilan politik, perpaduan, pembangunan dan kepentingan rakyat Sarawak, di samping memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (GE16),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, WAWASAN turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menghormati semua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah diberi mandat untuk bertanding pada pilihan raya negeri kali ini.
“WAWASAN tegas menyokong kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta menghormati semua calon GPS yang telah diberi mandat untuk bertanding dalam PRN13,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kestabilan politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan merupakan keperluan penting untuk terus memacu pembangunan Sarawak.
Menariknya, meskipun baru berusia kurang enam bulan, WAWASAN mendakwa telah menerima permohonan daripada calon berkelayakan, berpengalaman dan profesional untuk bertanding di hampir separuh daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Bagaimanapun, parti itu memilih untuk tidak meletakkan calon bagi memberi ruang kepada kestabilan politik serta menghormati landskap politik Sarawak sedia ada.
Dalam perkembangan berkaitan, keputusan WAWASAN itu menambah senarai parti politik yang mengumumkan pendirian tidak bertanding pada PRN kali ini, termasuk Barisan Nasional (BN), PAS, Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Affendi berkata, parti itu akan menggunakan tempoh berkenaan untuk memperkukuh organisasi, struktur parti dan akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU16.
“WAWASAN memilih kestabilan. WAWASAN memilih perpaduan. WAWASAN memilih kepentingan rakyat. Rakyat mesti menjadi pemenang,” katanya.
PRN Sarawak ke-13 menyaksikan sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.
Oleh Shahrul Qaizat




