DALAT, 27 November: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pembangunan dan masa depan kawasan Dalat terus menjadi antara perkara yang mendapat perhatian penduduk setempat, khususnya dalam menilai sejauh mana pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan awam yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat.
Walaupun pelbagai usaha pembangunan telah dilaksanakan dan dirancang di kawasan Dalat , masih terdapat persoalan mengenai keperluan penduduk yang belum dipenuhi, selain harapan agar pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Utusan Sarawak sempat menemu bual masyarakat di Dalat berkenaan pandangan mereka berkenaan kemajuan yang telah dicapai serta perkara-perkara yang lain.
Menurut Murni Sirat, 73, penduduk di kawasan Dalat berasa bersyukur dan bertuah atas kepimpinan Datuk Seri Fatimah Abdullah yang disifatkan berjaya membawa pelbagai perubahan serta peningkatan pembangunan yang amat memberangsangkan di kawasan berkenaan.
“Dahulu, saya pernah memegang jawatan sebagai Ketua Wanita di kampung ini.
“Sepanjang tiga penggal beliau memimpin kawasan Dalat, beliau banyak membantu kami sebagai rakyat khususnya dari segi memberikan bantuan untuk aktiviti yang dijalankan” katanya.
Murni yang merupakan penduduk di salah sebuah kampung di Dalat turut menyifatkan agar Fatimah menang pada pilihan raya akan datang kerana bakti dan usaha beliau masih diperlukan di sini.
Tambahnya, usaha yang ditunjukkan oleh Fatimah dalam memajukan kawasan Dalat menjadikan beliau sebagai pemimpin yang berdedikasi.
“Lihatlah, dengan adanya kemudahan seperti jambatan, tebingan air Dalat yang semakin cantik kini dan pelbagai lagi mampu dicapai sepanjang perkhidmatannya.
“Bagi saya, ia memberi manfaat yang amat besar kerana dapat menghubungkan kami dengan masyarakat yang lain,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Murni turut menyampaikan harapannya terhadap kepimpinan calon yang menang kelak agar memberikan kemajuan yang lebih banyak serta positif demi keselesaan masyarakat.

Sementara itu, Abdullah Padi, 67, berkata penyediaan kemudahan seperti ruang perniagaan kepada masyarakat Dalat merupakan satu inisiatif yang amat bermanfaat dan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
“Pembangunan yang dilaksanakan setakat ini banyak memberikan kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk.
“Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian, khususnya berkaitan keadaan jalan raya di kawasan ini yang memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Abdullah yang juga merupakan penduduk Kampung Sungai Ud berkata, kemudahan dan pembangunan yang disediakan sememangnya diperlukan oleh penduduk setempat bagi memastikan masyarakat turut menikmati kemajuan.
Menurutnya lagi, keberkesanan kepimpinan seseorang pemimpin juga menjadi pertimbangan rakyat dalam menentukan pilihan mereka pada pilihan raya akan datang.

Di samping itu, Nur Azlina Abdullah, peniaga di pasar petang Dalat turut berkongsi pandangan beliau berkaitan pembangunan yang bermakna baginya di Dalat.
Menurut peniaga berumur 43 tahun ini, tebingan air Dalat merupakan salah satu inisiatif yang amat dihargai khususnya kepada para peniaga yang ingin memajukan ekonomi mereka.
“Kini, penyediaan tempat berniaga seperti di tebingan air yang semakin teratur itu memberi galakkan kepada kami sebagai peniaga.
“Hal ini kerana, tempat tersebut dilengkapi dengan kemudahan yang kondusif seperti mempunyai bumbung, lampu dan tempat yang selesa untuk mencari rezeki,” katanya.
Anak jati Kampung Tanam, Dalat itu turut berkongsi pengalaman berdepan pelbagai cabaran sepanjang menjalankan perniagaan, namun mengakui inisiatif yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Fatimah banyak membantu meringankan beban serta memudahkan urusan perniagaannya.
“Memang sebagai peniaga, ada pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, tetapi dengan adanya kemudahan dan bantuan yang disediakan, sedikit sebanyak ia membantu kami untuk terus menjalankan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, pengundi muda iaitu Aldrin Cedric Nicholas berkata, dia amat mengambil perhatian terhadap rekod penyandang sedia ada kerana hal ini menjadi penanda aras kerja yang beliau akan laksanakan di masa hadapan.

“Tidak dinafikan, sebagai pengundi muda saya menginginkan idea baharu yang lebih segar.
“Tetapi saya percaya, rekod baik yang ditunjukkan oleh penyandang sedia ada boleh menjadi asas untuk meneruskan usaha pembangunan serta membawa pembaharuan di daerah Dalat.,” katanya.
Cedric yang juga berumur 25 tahun ini menyatakan harapan agar penyandang kerusi Dalat dapat membuka serta memperbanyakan peluang pekerjaan di Daerah Dalat sekiranya memenangi kerusi tersebut.
Menurutnya, usaha ini perlu dilakukan agar tenaga mahir dan para belia boleh berkhidmat di tempat sendiri dan membangunkan komuniti setempat.
Sehubungan itu, Cedric sebagai penetap di Kampung Hilir Seberang, Dalat turut menekankan masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan di Dalat perlu di beri perhatian.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa mencatu penggunaan air atau menggunakan pam air bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.
“Ini menunjukkan stesen-stesen air di Dalat masih belum mampu membekalkan tekanan air yang mencukupi kepada penduduk,” katanya lagi.
Cedric berpendapat, keadaan itu berkemungkinan berpunca daripada pertambahan jumlah penduduk yang tidak seiring dengan keupayaan kapasiti tangki simpanan air sedia ada, sekali gus menyebabkan tekanan bekalan air tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.
Pengundi muda yang juga merupakan graduan ijazah sarjana ini turut berkongsi harapannya untuk pembangunan Dalat pada 5 tahun yang akan datang khususnya bagi golongan belia.
“Saya berharap lebih banyak peluang pekerjaan disediakan kepada golongan belia di Dalat kerana rata-rata mereka terpaksa berhijrah ke luar kawasan untuk mencari pekerjaan.
“Tidak dinafikan, institusi pengajian tinggi di Sarawak berjaya melahirkan ramai graduan yang berdaya saing, namun peluang pekerjaan di Dalat juga perlu dipertingkatkan agar mereka mempunyai pilihan untuk membina kerjaya di tempat sendiri.
“Bagi saya, tidak salah sekiranya mereka terpaksa keluar dari Dalat untuk mencari pekerjaan, tetapi lebih baik jika mereka turut diberikan peluang untuk kembali dan mencurahkan bakti serta kepakaran demi membangunkan kawasan sendiri,” tegasnya lagi.
Oleh Adibfahmy




