IPD Sri Aman perkukuh kesiapsiagaan anggota hadapi PRN Sarawak

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI dan anggota IPD Sri Aman mengikuti taklimat berkaitan senario politik semasa, undang-undang pilihan raya serta tanggungjawab PDRM menjelang PRN Sarawak. Foto: IPD Sri Aman

SIMANGGANG, 27 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman memperkukuh kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya dalam menghadapi proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menerusi penganjuran taklimat berkaitan senario politik semasa, undang-undang serta kesalahan pilihan raya.

Menurut kenyataan IPD Sri Aman, taklimat berkenaan turut merangkumi pengurusan undi pos, undi awal serta tugas dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh pilihan raya.

Program tersebut disampaikan oleh Pegawai Kanan Polis IPD Sri Aman yang dilantik sebagai penceramah dan berlangsung selama dua hari di Ruang Legar Narkotik, IPD Sri Aman.

Taklimat pada hari pertama berlangsung dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala sesi hari kedua diadakan dari 2.00 hingga 5.00 petang dengan penyertaan Pegawai Kanan Polis (PKP) dan Pegawai Rendah Polis (PRP) IPD Sri Aman.

Penganjuran program itu bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan pemahaman pegawai dan anggota berhubung peruntukan undang-undang, kesalahan pilihan raya, selain tatacara pengurusan undi pos dan undi awal.

Selain itu, sesi berkenaan menjadi platform mengulangkaji dan memperkukuh pengetahuan warga polis mengenai peranan serta tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang proses pilihan raya.

IPD Sri Aman berharap semua pegawai dan anggota dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh profesionalisme, integriti serta mematuhi segala peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

Kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan setiap proses pilihan raya di Daerah Sri Aman berlangsung dalam suasana aman, terkawal dan teratur.

Oleh Adi Safarman