KUCHING, 27 November: Parti Bumi Kenyalang (PBK) akan bertanding di ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Miri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi memastikan pengundi berpeluang memilih wakil rakyat mereka melalui peti undi.
Ketua PBK Cawangan Miri, Leslie Ting Siong Ngiap berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan mendapat kelulusan pucuk pimpinan parti.
Tiga kerusi berkenaan ialah N.73 Piasau, N.74 Pujut dan N.75 Senadin.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Ting berkata, beliau tidak mahu mana-mana kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak dicabar kerana percaya pengundi seharusnya diberi peluang menggunakan hak demokratik untuk memilih wakil rakyat mereka.

Katanya, kemenangan tanpa bertanding akan menyebabkan pengundi kehilangan peluang membuat pilihan melalui peti undi.
“Walaupun kemenangan tanpa bertanding dibenarkan mengikut prosedur pilihan raya, saya percaya demokrasi seharusnya memberi ruang kepada pengundi untuk membuat pilihan.
“Sistem demokrasi yang sihat mesti mempunyai persaingan yang adil, hak rakyat untuk memilih serta mekanisme semak dan imbang yang berkesan,” katanya.
Ting berkata, keputusan PBK bertanding di ketiga-tiga kerusi itu juga bertujuan mendapatkan perwakilan yang lebih luas serta menawarkan suara alternatif kepada pengundi di DUN Sarawak.
Menurutnya, isu seperti kesesakan lalu lintas, banjir, infrastruktur, pelancongan dan pembangunan ekonomi memerlukan perancangan serta penyelarasan menyeluruh di seluruh Miri, bukannya ditangani secara berasingan mengikut kawasan DUN masing-masing.

Sementara itu, Ting hari ini mengumumkan PBK akan mengetengahkan Chung Siew Yen, 38, seorang usahawan dalam industri hartanah, sebagai calon bagi DUN Piasau.
Katanya, pencalonan Chung mencerminkan hasrat parti untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita, generasi muda dan individu daripada pelbagai latar belakang profesional dalam bidang politik serta hal ehwal awam.
Calon PBK bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan ialah Chung Siew Yen (Piasau), Leslie Ting Siong Ngiap (Pujut) dan Ngieng Sheng Chung (Senadin).
Menjelang hari penamaan calon esok, Ting turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang akan bertanding di ketiga-tiga kerusi DUN di Miri, sambil berharap pilihan raya berlangsung secara aman, adil dan demokratik.



