DAP Sarawak tentukan kerusi, terajui sendiri kempen PRN-13

Facebook
WhatsApp
CHONG Chieng Jen and Anthony Loke.

KUCHING, 26 November: DAP Sarawak akan menentukan sendiri kerusi yang ditandingi dan menerajui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Menurutnya, autonomi itu meliputi penentuan jumlah kerusi yang akan ditandingi, pemilihan calon dan penandatanganan watikah bagi membolehkan calon menggunakan logo DAP.

“Ini prinsip yang sentiasa kami pegang. Segala perkara berkaitan Sarawak diputuskan sepenuhnya oleh DAP Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menegaskan semula bahawa ia menghormati sepenuhnya autonomi DAP Sarawak dan akan mematuhi ketetapan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemimpin DAP dari luar Sarawak yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri Persekutuan tidak akan menyertai kempen PRN itu.

 Katanya, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan semangat Kerajaan MADANI dan bagi menghormati rakan gabungan di peringkat Persekutuan.

DAP Sarawak akan menggerakkan pemimpin dan ahli tempatan bagi menyampaikan mesej parti kepada pengundi sepanjang kempen.

“Rakyat Sarawak boleh menilai sendiri rekod dan komitmen kami kepada mereka,” katanya.

Oleh Connie Chieng