PRN Sarawak: SPR ingatkan bakal calon lengkapkan urusan penamaan lebih awal

Facebook
WhatsApp
SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR). Foto Bernama

KUCHING, 26 November: Bakal calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disaran melengkapkan borang pencalonan, membuat semakan dokumen serta menjelaskan bayaran deposit lebih awal bagi memastikan proses penamaan calon Sabtu ini berjalan lancar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 28 November 2026, dengan penyerahan kertas penamaan calon berlangsung dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi di 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak.

Menurut SPR, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua daripada mereka atau salah seorang daripada mereka.

SPR turut menasihatkan bakal calon supaya mengisi borang pencalonan dan membuat semakan awal dengan pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

Bakal calon juga digalakkan menjelaskan bayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran sebagai bukti ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

Bagi calon yang mewakili parti politik, surat kebenaran menggunakan simbol parti masing-masing perlu dikemukakan ketika penyerahan kertas penamaan calon.

Dalam pada itu, SPR mengingatkan calon supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan bahan dan aktiviti kempen pilihan raya.

Antara larangan yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan alat muzik atau pembesar suara melalui kenderaan bagi tujuan diayah politik serta menunggu atau berada dalam lingkungan 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon.

SPR turut menggesa semua bakal calon dan parti politik supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dengan teratur dan lancar.