Rayuan kes tipu jualan bir ditolak, hukuman penjara dan sebatan kekal

Facebook
WhatsApp
MAHKAMAH Tinggi Sri Aman menolak rayuan Wellmin Bajing, 38, terhadap hukuman bagi dua kes penipuan membabitkan pembayaran pembelian minuman keras berjumlah RM3,140. Foto IPD Lubok Antu

SIMANGGANG, 26 November: Mahkamah Tinggi Sri Aman menolak rayuan Wellmin Bajing, 38, terhadap hukuman bagi dua kes penipuan membabitkan pembayaran pembelian minuman keras berjumlah RM3,140.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faridz Gohim Abdullah pada 23 November lalu di Mahkamah Tinggi 2, Sri Aman.

Dalam keputusan berkenaan, mahkamah mengekalkan hukuman penjara selama setahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Isu utama yang dipertimbangkan dalam rayuan itu adalah sama ada hukuman bagi kedua-dua kes perlu dijalankan secara berasingan atau serentak.

Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa hukuman berkenaan perlu dijalankan secara berasingan memandangkan kedua-dua kesalahan merupakan kesalahan yang berbeza dan berasingan (separate and distinct).

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan berkenaan dan mengekalkan perintah supaya hukuman bagi kedua-dua kes dijalankan secara berasingan.

Berdasarkan fakta kes pertama, tertuduh didakwa menipu Philip Philemon Intunie pada 11 Mac lalu kira-kira 2.30 petang di Kilang Kelapa Sawit Salcra Lubok Antu 1.

Tertuduh secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM455 melalui akaun Public Bank milik Jacqueline Cheria Insam, bagi pembayaran empat kotak minuman keras.

Dalam kes kedua pula, tertuduh didakwa menipu Patrick Arik Kendoi pada 14 Mac di Rumah Flat Kerajaan Negeri, Sri Aman.

Mangsa menyerahkan wang berjumlah RM2,685 melalui akaun bank yang sama bagi pembayaran 77 kotak minuman keras.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan dengan memperdaya mangsa sehingga mereka menyerahkan wang yang tidak akan diberikan sekiranya tidak diperdaya.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Jonathan Lim Hsi How, manakala tertuduh diwakili peguam, Moh Ung Kieng.

Keputusan rayuan itu sekali gus mengekalkan hukuman asal serta perintah mahkamah supaya kedua-dua hukuman dijalankan secara berasingan.

Oleh Adi Safarman