SIMANGGANG, 26 November: Sarawak terus melakar sejarah pembangunan infrastruktur apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyempurnakan perasmian Jambatan Batang Lupar 2, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan di negeri ini.
Jambatan sepanjang 870 meter yang merentasi Sungai Batang Lupar itu menghubungkan Sri Aman dengan Lidong di Bahagian Betong dan menjadi komponen penting dalam rangkaian Jalan Utama Kedua Sarawak.
Dengan kos pembinaan berjumlah RM223.633 juta, projek berkenaan dibina menggunakan reka bentuk kabel-penahan (cable-stayed) yang moden dan berteknologi tinggi, menjadikannya antara infrastruktur paling ikonik di kawasan Simanggang.
Keunikan jambatan itu terserlah menerusi menara utamanya yang mencapai ketinggian 145.5 meter, sekali gus menonjol sebagai mercu tanda baharu yang mengubah landskap pembangunan di kawasan berkenaan.
Jambatan Batang Lupar 2 turut menjadi sebahagian daripada 22 projek jambatan mega yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan serta kesalinghubungan antara bandar dan kawasan luar bandar.
Lebih membanggakan, ia merupakan jambatan mega ke-14 yang berjaya disiapkan di bawah inisiatif tersebut sebelum dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 31 Oktober lalu.
Pembukaan jambatan berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat menerusi perjalanan yang lebih singkat, selain mempercepatkan pergerakan barangan dan memperlancarkan aktiviti ekonomi antara Sri Aman dan Betong.
Dalam majlis sama, Jambatan Batang Lupar 2 mencipta satu lagi pencapaian apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai jambatan kabel-penahan dengan menara tertinggi di Malaysia pada ketinggian 145.5 meter.
Pengiktirafan itu bukan sahaja mengangkat keupayaan kejuruteraan Sarawak ke peringkat lebih tinggi, malah menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur bertaraf dunia yang mampu merangsang pertumbuhan sosioekonomi dan pembangunan wilayah untuk jangka panjang.
Oleh Adi Safarman




