KOTA SAMARAHAN, 26 November: Lima mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengetengahkan inovasi SaraCraft, sebuah platform e-dagang yang dibangunkan bagi membantu pengusaha kraf tangan tempatan, khususnya masyarakat luar bandar, menembusi pasaran lebih luas menerusi teknologi digital.
Inovasi berkenaan berjaya meraih geran pembangunan berjumlah RM1,800 menerusi Pertandingan SeniVasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat akhir (Final Showcase) yang bakal berlangsung pada 2 hingga 3 Disember ini di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pasukan yang dikenali sebagai Warisa itu dianggotai Fabian Mark February, Frederick Sagih Sigal, Dareus Duna Petrus, Amirul Yalim dan Haresh Dylan Sivanesvaran.
Mereka mendapat bimbingan daripada Profesor Madya Ir. Dr. Ana Sakura Zainal Abidin selaku mentor dan Ts. Mohd Azrin Mohd Said selaku mentor bersama dari Fakulti Kejuruteraan Unimas.
Pembangunan SaraCraft tercetus daripada kesedaran terhadap potensi industri kraf tangan tempatan serta cabaran dihadapi pengusaha, khususnya dalam mendapatkan akses kepada pasaran digital.
Menerusi platform itu, pelbagai produk warisan seperti songket, batik Iban dan manik tradisional berpotensi diperkenalkan kepada pengguna di peringkat nasional dan antarabangsa.

Inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada pengusaha kraf untuk meningkatkan potensi pendapatan menerusi pemasaran digital tanpa mengabaikan identiti dan keaslian warisan budaya masing-masing.
Idea pembangunan SaraCraft sebelum ini berjaya menarik perhatian panel penilai menerusi sesi pembentangan, seterusnya membawa pasukan Warisa menyertai Bootcamp SeniVasi pada 16 Jun lalu.
Program berkenaan memberikan pendedahan kepada mahasiswa dalam aspek pembangunan inovasi, keusahawanan, strategi pemasaran, komunikasi dan potensi pengkomersialan produk.
Geran yang diterima dimanfaatkan bagi memperkukuh pembangunan sistem, menambah baik fungsi platform, meningkatkan pengalaman pengguna serta menyokong aktiviti turun padang bersama komuniti pengusaha kraf tangan tempatan.
Pasukan Warisa turut menerima sokongan daripada Pusat Keusahawanan Unimas (UEC) bagi memperkukuh aspek strategi perniagaan, pembentangan inovasi dan potensi pengkomersialan SaraCraft.
Selain berfungsi sebagai platform e-dagang, SaraCraft bermatlamat merapatkan jurang digital dalam kalangan pengusaha kraf luar bandar, memperkasakan ekonomi komuniti serta memastikan warisan seni dan budaya Sarawak kekal relevan dalam era transformasi digital.
Inovasi itu turut mendukung aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pertumbuhan ekonomi, inovasi dan pembangunan komuniti mampan.
Penyertaan pasukan Warisa ke pentas kebangsaan di Sabah kelak bukan sahaja membawa nama Unimas, malah menjadi peluang untuk mengetengahkan keunikan dan kekayaan warisan kraf tangan Sarawak menerusi teknologi digital.




