PETRA JAYA, 26 November: Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fatimah Abdullah mengibaratkan wanita sebagai software (perisian) yang melengkapi hardware (perkakasan) pembangunan fizikal negeri dengan membawa perspektif kemanusiaan dan sosial dalam pembentukan dasar serta pelaksanaan agenda kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) berkata penyertaan golongan wanita dalam pentadbiran membawa dimensi kemanusiaan bagi memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan mengambil kira keperluan serta kesejahteraan rakyat.
Selain itu, Fatimah berkata wanita mempunyai kekuatan tersendiri menerusi pengalaman profesional, latar belakang akademik serta penglibatan dalam lapangan yang mampu menyumbang perspektif berbeza dalam perbincangan dan pembentukan dasar kerajaan.
“Jika kita ibaratkan ada hardware dan software, wanita adalah software. Kita membawa perspektif berbeza, khususnya dari segi kemanusiaan dalam setiap isu.
“Ia bukan hanya mengenai fakta, tetapi juga aspek kemanusiaan dan sosial yang perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan watikah calon GPS bertanding pada PRN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan negeri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemajuan infrastruktur dan aspek fizikal, sebaliknya perlu turut mengambil kira dimensi sosial yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Fatimah berkata input wanita dalam proses membuat keputusan mampu menghasilkan pendekatan lebih holistik kerana setiap isu dinilai daripada pelbagai sudut termasuk keperluan dan kebajikan masyarakat, selari dengan prinsip GPS yang meletakkan rakyat sebagai tunjang utama penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Dalam pada itu, Fatimah menzahirkan keyakinan kesemua lima calon wanita yang dipertaruhkan GPS mempunyai kredibiliti serta berupaya memenangi kawasan masing-masing.
Calon kita mestilah berwibawa dan berpotensi untuk menang. Itu penting dalam pilihan raya. Calon yang berwibawa dan berpotensi untuk menang. Dan kita mempunyai calon sedemikian,” katanya.
GPS mempertaruhkan lima calon wanita termasuk dua muka baharu pada PRN Sarawak ke-13, berbanding empat pada pilihan raya negeri lepas.
Dua muka baharu itu ialah bekas jurutera kanan Sarawak Energy Berhad Nurfatin Syafawani Tahamat, 34, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, 51, di DUN Muara Tuang.
Tiga lagi kerusi DUN yang turut ditandingi calon wanita GPS ialah Dalat menerusi Fatimah, Samariang (Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali) dan Lingga (Dayang Noorazah Awang Sohor).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian 12 Disember ini. – Bernama




