KUCHING, 26 November: Keputusan enam parti politik untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, ditambah dengan pengumuman calon oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), membuka persoalan sama ada beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berpotensi dimenangi tanpa bertanding.
Perkembangan itu menarik perhatian memandangkan GPS sudah mengumumkan kesemua 82 calonnya pada 25 November, manakala Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun, keputusan parti-parti berkenaan tidak semestinya membawa kepada kemenangan tanpa pertandingan kerana ruang persaingan masih terbuka kepada parti tempatan, calon bebas dan individu yang memilih untuk bertanding menggunakan platform politik lain.
Malah, perkembangan semasa menunjukkan persaingan PRN kali ini bukan sekadar melibatkan pertarungan antara GPS dengan parti pembangkang, sebaliknya turut dipengaruhi keputusan pembahagian kerusi, rundingan antara parti serta kesediaan sesetengah organisasi politik untuk mengubah pendirian menjelang hari penamaan calon pada 28 November.
Dari sudut sejarah, Sarawak pernah menyaksikan 19 daripada 62 kerusi DUN dimenangi tanpa bertanding pada PRN 1996, satu rekod besar yang dicatatkan ketika Barisan Nasional masih menguasai landskap politik negeri ini.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 30.6 peratus daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan ketika itu, sekali gus memperlihatkan bahawa kemenangan tanpa pertandingan bukan sesuatu yang asing dalam sejarah politik Sarawak.
Namun, keadaan politik pada 1996 berbeza daripada landskap semasa apabila persaingan kini melibatkan gabungan parti tempatan yang mempunyai kepentingan dan tuntutan kawasan masing-masing.
Rekod pilihan raya juga menunjukkan kemenangan tanpa bertanding pernah berlaku pada skala lebih kecil, termasuk empat kerusi pada 2001, dua kerusi pada 2006 dan dua kerusi pada 2016, manakala PRN 2021 menyaksikan semua 82 kerusi dipertandingkan.
Pada PRN 2001, empat calon BN yang menang tanpa bertanding ialah Alfred Yap Chin Loi di Batu Kawah, mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot di Batang Ai, mediang Dato Sri Ambrose Blikau Enturan di Katibas dan mendiang Datuk Dr Judson Sakai Tagal di Ba’kelalan.
Pada 2006, dua kerusi yang dimenangi tanpa pertandingan ialah Dalat dan Daro, manakala pada 2016 kemenangan berkenaan dicatatkan oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari dan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail di Bukit Kota.
Perbandingan tersebut memperlihatkan bahawa walaupun kemenangan tanpa bertanding pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya, jumlahnya tidak semestinya berkait secara langsung dengan dominasi sesebuah gabungan politik.
Antara faktor yang perlu diperhatikan pada PRN kali ini ialah keputusan BN untuk tidak bertanding berdasarkan persefahaman antara UMNO dengan PBB, manakala PKR menyatakan pendiriannya dibuat bagi menghormati kerjasama politik dengan GPS dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 15 November berkata parti itu tidak berhasrat meletakkan calon di mana-mana kerusi DUN Sarawak kerana menghormati persefahaman berkenaan.
PKR pula mengumumkan keputusan tidak bertanding pada 24 November melalui kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak Datuk Seri Hafsah Harun, Naib Presiden PKR Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak Mahmud Epah.
Parti itu menjelaskan keputusan berkenaan bertujuan memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, selain memperkukuh kerjasama dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara itu, Amanah pada 21 November menyatakan keputusan tidak bertanding dibuat bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
PAS pula pada 19 November memaklumkan keputusan tidak meletakkan calon dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa dan pertimbangan lain, manakala Wawasan dan Bersatu masing-masing mengumumkan pendirian sama pada 25 November.
Walaupun keputusan tersebut mengurangkan jumlah parti nasional yang menyertai pertandingan, kesannya terhadap jumlah kerusi tanpa bertanding masih bergantung kepada tindakan parti-parti tempatan.
Ini kerana DAP, PBDS dan PBK masih meneruskan penyertaan, malah ketiga-tiganya mempunyai senarai calon yang menunjukkan pertindihan di beberapa kawasan.
DAP mengumumkan 12 calon dengan penyertaan di kawasan seperti Kota Sentosa, Batu Lintang, Padungan, Pending, Opar, Batu Kitang, Batu Kawa, Tanjong Batu, Pujut, Bukit Assek, Pelawan dan Meradong.
PBDS pula mengumumkan 26 calon, dengan presidennya John Brian Anthony menyatakan parti itu terbuka kepada persefahaman pilihan raya bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru di sesetengah kawasan.
Bagaimanapun, beliau mengakui pertandingan di Opar sukar dielakkan kerana kedua-dua PBDS dan DAP sudah membuat persiapan masing-masing.
Perkembangan di Opar memperlihatkan bagaimana keputusan parti-parti lain untuk tidak bertanding tidak semestinya mengurangkan persaingan di semua kawasan.
Selain DAP dan PBDS, Aspirasi turut mengumumkan Jileng Kion sebagai calon di Opar, sekali gus menjadikan kawasan itu antara kerusi yang mempunyai beberapa pencabar daripada parti berbeza berdasarkan pengumuman awal.
PBK juga tidak boleh diketepikan dalam analisis berkenaan apabila parti itu mengumumkan 12 calon, termasuk Voon Lee Shan di Batu Lintang, Tiong Ing Neng di Padungan, Chiang Chen Kiat di Pending, Lue Cheng Hing di Kota Sentosa dan Leslie Ting Siong Ngiap di Pujut.
Pertindihan tersebut memperlihatkan bahawa walaupun beberapa parti nasional memilih untuk tidak bertanding, persaingan di kawasan bandar dan beberapa kawasan luar bandar masih berpotensi menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.
Bagaimanapun, tumpuan lebih besar ialah kawasan yang belum mempunyai pencabar diumumkan oleh parti-parti berkenaan.
Berdasarkan pemetaan awal senarai calon GPS, DAP, PBDS dan PBK, terdapat 44 kawasan yang belum mempunyai calon alternatif daripada tiga parti pembangkang tersebut.
Namun, angka itu tidak boleh ditafsirkan sebagai 44 kerusi berpotensi menang tanpa bertanding kerana masih terdapat kemungkinan penyertaan calon bebas, calon parti lain dan perubahan keputusan politik pada saat akhir.
Malah, dua kerusi di utara Sarawak, iaitu Piasau dan Senadin, kini menjadi perhatian selepas PKR memutuskan tidak bertanding.
DAP sebelum ini memperuntukkan kedua-dua kerusi berkenaan kepada PKR, namun Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling pada 26 November (hari ini) mengesahkan parti itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil bahagian di kedua-dua kawasan berkenaan susulan keputusan PKR menarik diri.
Perkembangan itu menunjukkan bahawa keputusan sesebuah parti untuk tidak bertanding boleh mencetuskan penyusunan semula strategi parti lain, sekali gus mengubah jumlah pencabar di sesuatu kawasan.
Satu lagi perkembangan yang wajar diberi perhatian ialah kedudukan DUN Dudong dan Bawang Assan.
PBK sebelum ini menjelaskan bahawa parti itu masih mencari calon yang sesuai untuk kedua-dua kawasan berkenaan, sekali gus menolak tanggapan bahawa ketiadaan calon yang diumumkan bermaksud parti itu mempunyai persefahaman dengan DAP atau mana-mana pihak.
Presidennya Voon Lee Shan menegaskan PBK tidak mempunyai sebarang kerjasama politik dengan DAP, PBDS atau PKR. Borneo Post Online
Dalam masa sama, PBDS sudah mengumumkan Stanley Phua sebagai calon di Dudong, menjadikan kawasan itu tidak boleh dianggap sebagai kerusi tanpa pencabar hanya kerana PBK belum mengumumkan calon.
Situasi Bawang Assan pula masih memerlukan pemantauan kerana belum terdapat calon alternatif daripada senarai DAP, PBDS atau PBK yang diumumkan setakat ini, walaupun PBK menyatakan masih mencari calon.
Selain itu, pendirian Parti Wawasan Rakyat (PWR) juga perlu diperhatikan kerana parti berkenaan sebelum ini menyatakan akan membuat keputusan mengenai penyertaan selepas GPS mengumumkan senarai calonnya.
Presidennya Affendi Jeman dilaporkan menyifatkan PWR sebagai parti mesra GPS, namun pendirian tersebut tidak boleh dianggap sebagai pengesahan bahawa parti itu tidak akan bertanding selagi tiada keputusan rasmi diumumkan.
Dalam konteks yang lebih luas, PRN Sarawak Ke-13 turut memperlihatkan perubahan komposisi calon GPS apabila gabungan itu memperkenalkan 11 muka baharu daripada keseluruhan 82 calon.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meremajakan parti dan memberi ruang kepada generasi pelapis.
Antara muka baharu yang diketengahkan ialah Wung Duk Ing di Padungan, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim di Muara Tuang, Yussuf Chik di Simunjan, Awang Nashfarini Awang Sarbini di Beting Maro, Leonard Libau Anol di Simanggang dan Kevin Lau Kor Jie di Bawang Assan.
Perubahan calon itu juga membawa dimensi berbeza dalam persaingan apabila beberapa kawasan yang sebelum ini mempunyai penyandang berpengalaman kini menyaksikan kemunculan calon baharu, sekali gus memerlukan penelitian terhadap kemungkinan kemunculan calon bebas atau pencabar daripada parti lain.
Bagaimanapun, perubahan calon tidak boleh disamakan dengan ketiadaan pencabar kerana status sesuatu kerusi hanya dapat ditentukan selepas semua calon mengemukakan kertas pencalonan dan disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya.
Mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, jika pada hari penamaan calon hanya seorang calon sahaja yang sah dinamakan bagi sesuatu bahagian pilihan raya, pegawai pengurus hendaklah dengan serta-merta mengisytiharkan calon itu sebagai dipilih.
Ini bermakna pengumuman calon oleh parti sebelum hari penamaan calon tidak boleh dijadikan asas untuk mengesahkan seseorang calon bakal menang tanpa bertanding.
Justeru, hari penamaan calon pada 28 November menjadi penentu sebenar sama ada PRN Sarawak Ke-13 bakal menyaksikan kemunculan semula kemenangan tanpa bertanding di beberapa kawasan.
Walaupun keputusan enam parti untuk tidak bertanding mengubah landskap persaingan, jumlah sebenar kerusi tanpa pertandingan hanya dapat diketahui selepas proses pencalonan selesai dan SPR mengesahkan keputusan rasmi.
- Pemetaan 82 kerusi: siapa sudah mempunyai pencabar?
Berikut ialah infografik berdasarkan senarai calon yang diumumkan setakat 26 November 12.00 tengah hari.
(Masukkan infografik)
- Analisis akhir: faktor yang benar-benar menentukan
Lima perkara yang perlu diperhatikan menjelang penamaan calon
- Keputusan akhir DAP di Piasau dan Senadin
Dua kerusi ini boleh menyaksikan perubahan selepas PKR menarik diri. DAP sedang mempertimbangkan penyertaan. - Kedudukan PBK di Bawang Assan
PBK masih mencari calon. Ketiadaan calon yang diumumkan tidak bermaksud parti itu tidak akan bertanding. - Persepakatan PBDS dan DAP
John Brian Anthony menyatakan kesediaan mengelakkan pertandingan banyak penjuru di sesetengah kawasan, tetapi Opar merupakan pengecualian yang disebut secara khusus. - Keputusan Parti Wawasan Rakyat
Pendirian rasmi selepas pengumuman calon GPS masih perlu disahkan. - Calon bebas
Sejarah PRN Sarawak menunjukkan calon bebas bukan faktor kecil. Pada PRN 2021, seramai 30 calon bebas bertanding.
Oleh Shahrul Qaizat




