KEKAYAAN biodiversiti Sarawak berpotensi menjadi aset penting dalam membentuk hala tuju baharu penyelidikan perubatan di negeri ini, sekali gus membuka ruang kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk meneroka bidang perubatan integratif yang menggabungkan kepakaran perubatan Barat dan Timur, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sumber semula jadi.
Hasrat UTS memperkenalkan program Ijazah Perubatan pada masa hadapan bukan sekadar bertujuan memperluas penawaran akademik, malah berpotensi meletakkan universiti itu sebagai antara peneraju penyelidikan perubatan masa depan berasaskan keunikan biodiversiti Sarawak.
Pendekatan itu selari dengan perkembangan dunia perubatan yang semakin memberi perhatian kepada aspek pencegahan penyakit, kesejahteraan menyeluruh dan penggunaan teknologi dalam mencari kaedah rawatan baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, UTS mempunyai peluang untuk meneroka bidang perubatan integratif dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti negeri ini sebagai asas penyelidikan saintifik.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja menumpukan kepada rawatan selepas seseorang jatuh sakit, tetapi turut memberi penekanan kepada usaha mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Beliau berkata, konsep salutogenesis yang menekankan pemeliharaan kesihatan sebelum penyakit berlaku merupakan antara cabang baharu dalam sains perubatan yang wajar diterokai oleh UTS.
“Kita mempunyai biodiversiti yang boleh menjadi asas kepada penyelidikan untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai penyakit, termasuk kemungkinan penyakit baharu pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTS Kali Ke-11 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib, UTS, baru-baru ini.
Abang Johari turut mencadangkan supaya UTS mempertimbangkan penglibatan pakar perubatan Timur sebagai tenaga pengajar dan penyelidik bagi melengkapkan kepakaran perubatan Barat dalam membangunkan bidang berkenaan.
Menurutnya, gabungan kedua-dua pendekatan itu, disokong kemajuan AI generatif, mampu membuka dimensi baharu dalam penyelidikan perubatan, termasuk analisis DNA dan pengenalpastian sebatian semula jadi yang berpotensi dimanfaatkan untuk pembangunan rawatan penyakit.

Malah, sumber biodiversiti Sarawak juga boleh dikaji secara saintifik bagi mengenal pasti bahan yang berkemungkinan mempunyai potensi dalam membantu menangani penyakit serius seperti kanser.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap potensi bahan semula jadi perlu melalui proses penyelidikan dan pembuktian saintifik yang menyeluruh bagi memastikan keberkesanan serta keselamatannya sebelum dimanfaatkan dalam bidang perubatan.
Aspirasi memperkenalkan program Ijazah Perubatan itu turut disuarakan Naib Canselor UTS, Profesor Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman, yang melihat bidang berkenaan sebagai antara hala tuju strategik universiti pada masa hadapan.
Menurutnya, usaha itu memerlukan kerjasama erat dengan kerajaan Sarawak, pihak berkuasa berkaitan, institusi kesihatan serta rakan akademik antarabangsa bagi memastikan pelaksanaannya mempunyai asas kepakaran dan sokongan yang kukuh.
Langkah berkenaan juga dilihat mampu memperluas peranan UTS daripada sebuah institusi pendidikan tinggi kepada penyumbang lebih besar dalam pembangunan pendidikan perubatan, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Dalam usaha memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa, UTS turut menyasarkan pengiktirafan menerusi penarafan QS Stars dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti akademik, penyelidikan, inovasi, penglibatan industri dan kerjasama antarabangsa.
Ketika ini, UTS mempunyai 6,724 pelajar yang mengikuti 36 program akademik, mencerminkan perkembangan pesat universiti itu sejak penubuhannya pada 2013.
Sebagai institusi milik penuh kerajaan Sarawak, UTS juga komited memperkukuh tadbir urus, kemampanan operasi dan hala tuju strategiknya selaras dengan aspirasi kerajaan negeri terhadap perusahaan milik kerajaan (SOE).
Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) turut menjadi pemangkin kepada usaha memperluas akses pendidikan tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian tanpa yuran pengajian, tertakluk kepada syarat kelayakan.
Pada masa sama, UTS sedang bergerak ke arah pendigitalan keseluruhan aliran kerjanya dengan mengintegrasikan teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan operasi universiti.
Keseluruhannya, aspirasi memperkenalkan pendidikan perubatan, meneroka penyelidikan berasaskan biodiversiti dan memperkukuh penggunaan teknologi memperlihatkan usaha UTS untuk berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja melahirkan graduan, tetapi turut menyumbang kepada inovasi dan pembangunan masa depan Sarawak.
Oleh Akun Giman





