SEGALA teka-teki, spekulasi dan persoalan mengenai siapakah bakal menggalas amanah Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) akhirnya terjawab apabila Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan senarai penuh 82 calon yang akan bertanding bagi mewakili gabungan itu.
Pengumuman yang dinantikan seluruh Sarawak itu bukan sekadar mengesahkan nama-nama calon, malah menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan politik negeri menjelang PRN13.
Selepas beberapa minggu menjadi perbualan masyarakat, khususnya mengenai nasib penyandang, kemungkinan pertukaran calon dan kemunculan muka baharu, Abang Johari akhirnya membuka tirai kepada barisan yang akan membawa panji GPS dalam pilihan raya kali ini.
Daripada 82 calon yang diumumkan, seramai 11 merupakan muka baharu, sekali gus memperlihatkan kesediaan GPS melakukan pembaharuan dengan menggabungkan kepimpinan berpengalaman bersama generasi pelapis.
Langkah itu membawa mesej bahawa kesinambungan pembangunan Sarawak perlu bergerak seiring dengan pembaharuan kepimpinan, tanpa mengetepikan pengalaman serta rekod khidmat wakil rakyat terdahulu.
Penghargaan kepada yang berundur
Antara perkara yang mencuri perhatian dalam pengumuman tersebut ialah penghargaan Abang Johari kepada penyandang yang memilih untuk tidak mempertahankan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai sebahagian daripada usaha meremajakan GPS dan membuka ruang kepada barisan pemimpin generasi seterusnya.
Perubahan ini memperlihatkan bahawa kepentingan parti dan kesinambungan perjuangan lebih besar daripada kedudukan individu.
Dalam politik, bukan semua pengorbanan diukur melalui kemenangan di peti undi. Ada kalanya, keberanian memberi laluan kepada generasi baharu juga merupakan satu bentuk kepimpinan dan tanggungjawab.
Kemunculan 11 muka baharu turut menjadi antara perkembangan paling menarik dalam senarai calon GPS kali ini.
Antara nama yang diketengahkan ialah Wung Duk Ing di Padungan, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim di Muara Tuang, Yussuf Chik di Simunjan, Awang Nashfarini Awang Sarbini di Beting Maro, Leonard Libau Anol di Simanggang dan Nor-E-Fadzwie Salleh di Kabong.
Turut diberikan kepercayaan ialah Alexander Donald di Ngemah, Kevin Lau Kor Jie di Bawang Assan, Cerisologo Sabut di Pelagus, Nurfatin Syafawani Tahamat di Bekenu dan Datu Jack Liam di Batu Danau.
Kehadiran mereka bukan sekadar mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan penyandang, tetapi membawa harapan baharu kepada kawasan masing-masing.
Mereka kini berdepan tanggungjawab besar untuk membuktikan kemampuan, membina keyakinan pengundi dan menterjemahkan kepercayaan kepimpinan GPS kepada khidmat yang berkesan.
Walaupun memberikan ruang kepada muka baharu, GPS tidak mengetepikan pemimpin berpengalaman yang masih mendapat kepercayaan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
Abang Johari sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Gedong selepas sebelum ini berkhidmat selama sembilan penggal sebagai wakil rakyat Satok.
Tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian masing-masing turut mempertahankan kerusi Bukit Saban, Bukit Sari dan Batu Kawah.
Gabungan pengalaman dan tenaga baharu ini menjadi antara pendekatan GPS dalam memastikan kestabilan kepimpinan serta kesinambungan agenda pembangunan negeri.
Di kawasan selatan Sarawak, khususnya Bahagian Betong, pengumuman calon GPS turut membawa perkembangan yang dinanti-nantikan masyarakat setempat.
Di DUN Kalaka, Mohamad Duri sekali lagi diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Di DUN Krian, Dato Friday Belik turut disenaraikan bagi meneruskan perjuangan GPS, manakala DUN Saribas menyaksikan Datuk Dr Ricky @ Mohammad Razi Sitam dan DUN Layar kekal menampilkan Datuk Gerald Rentap Jabu.
Di DUN Bukit Saban, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas terus diberikan mandat untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Sementara itu, DUN Kabong menyaksikan kemunculan Nor-E-Fadzwie Salleh sebagai muka baharu yang dipilih untuk membawa cabaran GPS menggantikan penyandang terdahulu, Dato Mohd Chee Kadir.
Di DUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor sekali lagi diberi kepercayaan untuk mewakili GPS.
Perkembangan ini memperlihatkan bahawa kawasan Betong dan sekitarnya turut menjadi sebahagian daripada strategi GPS dalam mengekalkan kekuatan politik serta meneruskan agenda pembangunan di kawasan luar bandar.
Dengan selesainya pengumuman 82 calon, tumpuan kini beralih kepada hari penamaan calon pada 28 November ini sebelum pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember 2026.
Bagi GPS, pengumuman calon hanyalah permulaan kepada satu lagi perjuangan politik yang menuntut komitmen, kesatuan dan keyakinan rakyat.
Setiap calon kini memikul tanggungjawab untuk membawa aspirasi gabungan, mempertahankan rekod perkhidmatan serta meyakinkan pengundi bahawa mereka merupakan pilihan terbaik untuk mewakili kawasan masing-masing.
Akhirnya, teka-teki mengenai siapa yang dipilih sudah terjawab. Namun, persoalan lebih besar kini menanti di hadapan, sejauh manakah barisan 82 calon ini mampu menterjemahkan kepercayaan kepimpinan GPS kepada mandat rakyat?
Dalam demokrasi, keputusan memilih calon terletak di tangan pengundi.
Nama sudah diumumkan, amanah sudah diberikan, kini tiba masanya untuk turun ke gelanggang dan membuktikan kemampuan.
Oleh Adi Safarman




