BEKENU, 25 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu, Datuk Rosey Yunus mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 selepas menabur bakti selama empat penggal sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.
Keputusan itu sekali gus menamatkan perjalanan politiknya sebagai calon DUN Bekenu, dengan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menentukan calon pengganti.
Dalam kenyataan media hari ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mempertimbangkan perjalanan serta tanggungjawab yang dipikul sepanjang empat penggal berkhidmat kepada masyarakat.
Menurutnya, beliau juga mahu memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk tampil ke hadapan, memimpin serta meneruskan perjuangan pembangunan di kawasan N.71 Bekenu.
Beliau percaya golongan muda mempunyai tenaga, idea dan pendekatan tersendiri yang mampu membawa harapan serta kesinambungan kepada pembangunan kawasan berkenaan.
Rosey turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Bekenu atas kepercayaan, sokongan, doa serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Katanya, tempoh empat penggal itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar serta pengalaman yang amat bernilai dalam kehidupannya.
Sepanjang berkhidmat, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama masyarakat, mendengar keluhan, memahami keperluan penduduk serta berusaha membawa pembangunan dan memperjuangkan kebajikan rakyat di seluruh kawasan Bekenu.
Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan, kekurangan atau perkara yang tidak dapat disempurnakan seperti diharapkan sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Tegasnya, keputusan untuk tidak bertanding pada PRN13 bukan bermakna hubungannya dengan masyarakat Bekenu akan terputus kerana kawasan itu akan sentiasa dekat di hatinya.
Beliau akan terus menghargai hubungan persahabatan dan persaudaraan yang terjalin dengan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun fahaman politik.
Pada masa sama, Rosey turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Timbalan Menteri.
“Terima kasih Bekenu, terima kasih atas kepercayaan selama empat penggal. Sokongan dan kesetiaan rakyat merupakan penghargaan paling bermakna dalam perjalanan khidmat saya,” katanya.
Oleh Adum Liu





