PUSA, 24 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro, Dato Razaili Gapor mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) akan datang.
Keputusan itu sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kemunculan calon baharu bagi mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Beting Maro pada pilihan raya negeri kali ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Razaili berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, khususnya memberi peluang kepada generasi pemimpin muda dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk meneruskan perjuangan parti.
Menurut beliau, langkah itu juga penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan Beting Maro serta memperkukuh kepimpinan masa hadapan Sarawak.
Beliau berkata, keputusan tersebut bukan bermakna komitmennya terhadap masyarakat setempat berakhir, sebaliknya semangat untuk terus berkhidmat akan kekal.
“Meskipun tidak lagi menawarkan diri sebagai calon, komitmen dan semangat saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat serta menyokong perjuangan parti akan sentiasa kekal,” katanya.
Dalam pada itu, Razaili turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta seluruh kepimpinan parti atas kepercayaan dan sokongan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat Beting Maro atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang menggalas amanah tersebut.
“Saya membuat keputusan ini khususnya bagi memberi ruang dan peluang kepada generasi pemimpin muda dalam PBB untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti dan agenda pembangunan Beting Maro,” katanya.
Pengumuman itu pastinya menjadi antara perkembangan penting menjelang PRN13, khususnya dalam menentukan barisan calon GPS yang bakal diketengahkan untuk mempertahankan sokongan rakyat di Beting Maro.
Kini, perhatian masyarakat tertumpu kepada keputusan kepimpinan GPS dan PBB berhubung calon yang bakal dipilih untuk meneruskan legasi kepimpinan serta agenda pembangunan di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman




