KUALA LUMPUR, 24 November: BMI jangka El Nino akan memberikan ujian tekanan awal ke atas pusat-pusat data sedia ada memandangkan kapasitinya terus berkembang pesat walaupun dalam pasaran yang sedang menghadapi kekurangan bekalan air.
BMI, yang merupakan subsidiari kepada Fitch Solutions berkata di lokasi yang mana El Nino menimbulkan risiko kemarau, ia menjangkakan fenomena 2026/27 akan menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan, catuan air dan langkah kecemasan sehingga menjadikan penggunaan air pusat data lebih terkesan.
“Ksemua ini menjadikan El Nino sebagai ujian tekanan awal untuk pusat data sedia ada, yang susunan bekalan air dan sistem penyejukannya akan diuji menjelang musim kering 2027, dan risiko menurun bagi yang dirancang tetapi syarat kebenaran akan menjadi lebih ketat, kelewatan kelulusan dan kos sistem penyejukan yang jimat air akan melonjak tinggi,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Daripada 83.6GW kapasiti pusat data dalam pangkalan data projek pusat data BMI, sekitar 21 peratus terletak di lokasi yang mana El Nino meningkatkan tekanan air.
Bagi mengenal pasti lokasi ini, BMI telah mengklasifikasikan setiap lokasi projek sebagai tadahan hujan atau tadahan salji, berdasarkan berapa banyak air dalam lembangan bekalannya berasal dari lokasi cair salji, lokasi tadahan hujan yang telah diuji berbanding indeks kemarau global untuk 2013-2026 dan lokasi tadahan salji berbanding cair salji serta aliran sungai dalam lembangan bekalan mereka sejak 1951, membandingkan tempoh El Nino dengan keadaan neutral, kemudian memeriksa laporan berita, utiliti dan kerajaan yang mendokumenkan tentang kekurangan air semasa tahun-tahun El Nino sebelum ini.
Kapasiti terdedah termasuk kira-kira 3.8GW kapasiti langsung, yang menghadapi ujian tekanan dan sekitar 13.8GW dalam perancangan, yang menghadapi risiko penurunan.
Untuk 14.9GW di 16 lokasi, El Nino tahun-tahun sebelum ini telah menyaksikan kekurangan air, catuan atau pelaksanaan langkah kecemasan dan 11.6GW daripadanya masih dalam pembinaan atau dirancang.
“Asia-Pasifik menyumbang 92 peratus daripada kapasiti yang sangat terdedah dan kerana kebanyakan kapasiti terdedah belum dibina, keadaan yang membenarkan dan opsyen penyejukan masih boleh disesuaikan,” katanya.
BMI berkata gugusan Johor-Singapura-Batam adalah yang paling terdedah, merangkumi kapasiti 6.6GW, manakala, 4.7GW daripadanya masih dalam perancangan, dengan jumlah hujan yang amat kurang semasa empoh El Nino.
Di kawasan tersebut, bulan-bulan El Nino biasanya menyaksikan potensi kemarau antara 25-37 peratus sejak 2013 berbanding sifar hingga tiga peratus dalam bulan-bulan neutral dan pada El Nino 2015/16, takungan Linggiu di Sungai Johor, yang membekalkan air ke Johor dan Singapura, jatuh ke paras terendah.
“Fenomena 2023/24 menyaksikan keadaan tempatan yang agak basah, ini bermakna, El Nino boleh meningkatkan kemungkinan tahun kering secara tiba-tiba.
“Dasar-dasar mengenainya sudah pun dilaksanakan selepas Johor telah mengetatkan kelulusan untuk pusat data intensif air sejak 2025 dan kerajaan persekutuan Malaysia berkata pada Oktober 2026 bahawa negeri tanpa air yang mencukupi tidak dibenarkan menjadi tumpuan pusat data,” tambahnya. – Bernama




