KUCHING, 24 November: Daripada mengehadkan tempoh jawatan Premier Sarawak kepada dua penggal, mengurangkan tarif elektrik luar bandar sebanyak 30 peratus hinggalah memperuntukkan RM10 bilion untuk pembangunan luar bandar, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) tampil dengan pelbagai tawaran besar menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Malah, parti itu bukan sekadar meletakkan sasaran memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya secara terbuka menyatakan hasrat untuk memperoleh mandat rakyat dan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan Sarawak seterusnya.
Presidennya, John Brian Anthony berkata manifesto berkenaan mengandungi 10 komitmen utama yang memberi tumpuan kepada pembaharuan pentadbiran, hak tanah adat, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat.
Antara janji yang mencuri perhatian ialah peruntukan RM10 bilion dalam tempoh lima tahun bagi mentransformasikan kawasan luar bandar, termasuk meningkatkan kemudahan infrastruktur serta membantu keluarga membina sumber pendapatan, perniagaan dan peluang pekerjaan.
Dalam aspek tanah adat pula, PBDS berjanji memperuntukkan RM150 juta setiap tahun bagi kerja pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), selain memperkenalkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tanah Anak Negeri dalam tempoh 12 bulan sekiranya diberikan mandat.
Parti itu turut menyasarkan liputan bekalan air terawat dan elektrik 100 peratus di kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun, selain menawarkan pengurangan tarif elektrik sebanyak 30 peratus kepada isi rumah luar bandar yang telah mempunyai sambungan bekalan elektrik.
Tidak cukup dengan itu, PBDS turut menjanjikan 20,000 peluang perantisan berbayar, latihan industri atau penempatan pekerjaan tersusun setiap tahun bagi golongan muda.
Bagi sektor ekonomi, sebanyak 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi, petani serta nelayan disasarkan menerima sokongan dalam tempoh lima tahun menerusi bantuan peralatan, kemahiran, pembiayaan dan akses pasaran.
Manifesto itu turut menggariskan sasaran 40 peratus perwakilan wanita dalam lembaga dan badan penasihat yang dilantik kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun, selain meningkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus kadar saraan semasa pemimpin masyarakat.
Dalam agenda berkaitan masyarakat Dayak, PBDS mencadangkan penubuhan institusi Ketua Paramount Dayak yang bebas bagi memelihara budaya, warisan adat dan perpaduan masyarakat berkenaan.
Parti itu juga berjanji melaksanakan syor yang terkandung dalam Buku Biru Sidang Kemuncak Tanah PBDS sebagai sebahagian daripada usaha memperbaharui pentadbiran dan pengurusan tanah adat.
Bagaimanapun, cadangan berkaitan Buku Biru itu sebelum ini menerima kritikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang menyifatkan kandungannya mengelirukan masyarakat Dayak berhubung isu pemilikan dan pengukuran tanah NCR.
Uggah menegaskan pengurusan tanah di Sarawak tertakluk kepada Kanun Tanah Sarawak, selain mempersoalkan kebolehlaksanaan menyelesaikan pengukuran tanah NCR di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun.
Beliau turut menyatakan kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha pengiktirafan tanah adat menerusi pindaan undang-undang serta proses pengukuran dan pewartaan yang sedang berjalan.
Satu lagi cadangan PBDS ialah mengehadkan tempoh jawatan Premier Sarawak kepada maksimum dua penggal, tertakluk kepada pindaan Perlembagaan, selain memastikan pemegang jawatan itu tidak memegang lebih daripada satu portfolio tambahan dalam Kabinet.
Dalam pada itu, PBDS menyatakan hasrat bukan sekadar memenangi kerusi, sebaliknya mahu memperoleh mandat untuk mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan Sarawak seterusnya.
Parti itu akan bertanding secara bersendirian pada PRN kali ini, namun terbuka mengadakan kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya bagi meneroka pembentukan kerajaan gabungan berdasarkan persamaan dasar dan matlamat bersama.
John Brian berkata manifesto berkenaan bukan sekadar himpunan janji pilihan raya, sebaliknya merupakan program pentadbiran yang mengandungi dasar, sasaran dan komitmen yang boleh dinilai rakyat sekiranya parti itu diberikan mandat.
PRN Sarawak ke-13 dijadual berlangsung pada 12 Disember ini.
Oleh Shahrul Qaizat




