Pertemuan Saifuddin, Abang Johari tumpu isu keselamatan, politik

Facebook
WhatsApp
MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak. Foto facebook Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 24 November: Komitmen memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak menjadi antara tumpuan pertemuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di negeri itu, semalam.

Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan berkata pertemuan itu membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat harus terus menjadi keutamaan. Semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu terus menjadi asas hubungan Persekutuan-Sarawak.

“Dalam konteks politik negara, saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata kerjasama dan persefahaman itu amat penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi dan kesejahteraan rakyat. – Bernama