KASUS Batu Kitang perkukuh perpaduan masyarakat

Facebook
WhatsApp
DATO’ Ahmad Ibrahim (kanan) bersama Dato’ Ir. Lo Khere Chiang (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang acara pada Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 di Kampung Tematu.

KUCHING, 23 November: Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat apabila menghimpunkan peserta daripada 10 unit Persatuan Kelab-Kelab Belia Sarawak (Saberkas) cawangan itu menerusi pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan di Kampung Tematu, semalam.

Pengerusi Pengelola karnival, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda untuk bergiat aktif dalam sukan, malah membina persahabatan serta memupuk semangat kerjasama menerusi penglibatan sebagai sukarelawan dan penganjur program masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan KASUS di Dewan Serbaguna Kampung Tematu, malam semalam.

DATO Ahmad Ibrahim (tengah) merakam kenangan bersama peserta sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 di Kampung Tematu.

Menurutnya, semangat kesukanan bukan sekadar diukur berdasarkan kemenangan atau kekalahan, sebaliknya melalui hubungan persahabatan dan perpaduan yang terjalin sepanjang program.

“Dalam pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Tetapi dalam persahabatan dan perpaduan, kita semua adalah pemenang,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penyertaan golongan wanita dalam acara karnival tahun ini, selain memaklumkan seramai 115 ahli baharu mendaftar sepanjang program berkenaan.

Katanya, penyertaan masyarakat daripada pelbagai kaum dan kampung sekitar Batu Kitang mencerminkan keharmonian yang menjadi kekuatan Sarawak.

DATO Ahmad Ibrahim dan Dato Lo Khere Chiang hadir pada Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 di Kampung Tematu.

Beliau berharap hubungan erat yang terjalin menerusi karnival itu dapat terus dikekalkan walaupun program berkenaan telah berakhir.

Ahmad turut menggalakkan golongan muda supaya berani mencuba perkara baharu, menerima kekalahan dengan semangat positif serta terus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menyentuh pilihan raya negeri akan datang, beliau menyeru golongan yang layak mengundi supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing secara matang.

Beliau berkata perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjejaskan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kejiranan dalam masyarakat.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat Kampung Tematu selaku tuan rumah, Pengerusi Saberkas Cawangan Batu Kitang, Dato’ Ir. Lo Khere Chiang, kepimpinan 10 unit Saberkas serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival itu, termasuk jawatankuasa pengelola, penaja, petugas dan sukarelawan.

Oleh Adele Rissa