BINTANGOR, 23 November: Kecergasan fizikal, disiplin dan semangat berpasukan merupakan elemen penting yang perlu sentiasa diperkukuh dalam kalangan anggota bomba bagi memastikan kesiapsiagaan ketika melaksanakan operasi kebombaan dan penyelamatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, penganjuran aktiviti sukan merupakan antara pendekatan untuk meningkatkan kecergasan anggota bomba, selain memupuk kerjasama dan hubungan baik dalam kalangan warga balai.
Katanya, aktiviti sedemikian turut menyediakan ruang kepada anggota bomba untuk berinteraksi di luar tugasan harian.
“Aktiviti sukan seperti pertandingan bola sepak jalanan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal anggota, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama, disiplin dan persefahaman yang amat penting dalam melaksanakan tugas kebombaan dan penyelamatan.

“Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi ini menghimpunkan anggota BBP Bintangor dalam pertandingan sukan yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya ketika dihubungi media, baru-baru ini.
Tambahnya, sebelum pertandingan dimulakan, para peserta mengikuti sesi senamrobik sebagai aktiviti memanaskan badan bagi meningkatkan kesediaan fizikal menghadapi perlawanan.
“Pertandingan kemudian diteruskan dengan aksi antara pasukan yang mengambil bahagian bagi merebut kedudukan terbaik.
“Pasukan Bravo A berjaya muncul juara, manakala Bravo B meraih gelaran naib juara dan Charlie A menduduki tempat ketiga,” katanya.
Katanya, selain pertandingan bola sepak jalanan, program tersebut turut diserikan dengan penyerahan baju-T balai kepada semua anggota bomba.
Mahmudin berharap penganjuran aktiviti sukan dapat diteruskan secara berterusan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental anggota bomba.
Oleh Earl Anek




