SIBU, 22 November: Kehebatan pelari Kenya dalam acara larian jarak jauh terserlah pada Maraton Antarabangsa RSAWIT 2026 apabila mereka membolot kedudukan podium dalam beberapa kategori maraton penuh dan separuh maraton yang berlangsung di sini hari ini.
James Cherutich Tallam mengetuai kejayaan kontinjen Kenya apabila menjuarai acara Maraton Penuh 42 kilometer (KM) Lelaki Terbuka Antarabangsa dengan catatan masa dua jam 23 minit 14 saat (2:23:14).
Kedudukan kedua turut menjadi milik pelari Kenya menerusi Hitley Ombisi Ademo yang mencatat masa 2:23:36, manakala Edwin Yebei Kiptoo melengkapkan podium selepas merekodkan 2:28:34.
Kejayaan sama diteruskan dalam kategori Wanita Terbuka Antarabangsa apabila Pamela Chepkoech Bundotich menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan masa 2:51:59, mengatasi Kingori Ziporah Wanjiru (2:58:46) dan Caroline Cherono (3:04:08).
Bagi kategori veteran lelaki 42KM, Benard Kiplangat turut memastikan kemenangan menjadi milik Kenya selepas mencatat masa 2:27:05, diikuti Joseph Mwangi Ngare (2:29:42) dan Martin Onesmus Martin (2:37:41).
Persaingan kategori veteran wanita pula menyaksikan Julia Wangui Njari muncul juara dengan catatan 3:20:07, manakala Bee Hong Ewe dan Jacklyn Sabastian masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Penguasaan pelari Kenya kemudian beralih ke acara Separuh Maraton 21KM apabila Geoffrey Birgen memenangi kategori Lelaki Terbuka Antarabangsa dengan masa 1:07:16.
Amos Cheruiyot Kirui berada di tempat kedua dengan catatan 1:08:52, manakala David Ndonga Kituku menduduki tempat ketiga menerusi masa 1:09:18.
Dalam kategori wanita bagi jarak sama, Jackline Jeptanui mencatat kemenangan dengan masa 1:25:35, diikuti Fridah Sang (1:34:41) dan Jia Xin Cheng (1:37:41)
Sementara itu, Jamin Ekai Ngaukon mengungguli kategori Lelaki Veteran Antarabangsa 21KM dengan catatan 1:10:30, mengatasi Dennis Isika (1:20:02) dan Suresh Munianday (1:24:09).
Linda Chin pula menguasai kategori Wanita Veteran Antarabangsa dengan masa 1:41:52, diikuti Lim Set Hiang (1:49:27) dan Tan Bee Yen (1:50:02).
Bagi acara 10KM, Faris Shaari muncul juara kategori Lelaki Terbuka Antarabangsa dengan catatan 37:53, manakala Rotich (40:46) dan Joshua Chang Siang Ci (42:48) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Jackline Nzivo pula memenangi kategori Wanita Terbuka Antarabangsa 10KM dengan masa 44:46, diikuti Cherynna Corey Chin (46:34) dan Chia Yin Toh (49:23).
Dalam kategori veteran lelaki, Mohamad Sharif Mohamad Ekbar menduduki tempat pertama dengan catatan 41:23, mengatasi Rahmad Abdul Rahman Tan (46:01) dan Jimmy Chen Chin Fah (46:52).
Yin Yin Foo menutup senarai pemenang acara 10KM selepas menjuarai kategori Wanita Veteran Antarabangsa dengan masa 50:34, diikuti Lee Leh Ha (53:38) dan Ding Ding Wong (54:43).
Oleh Tarani Lanting





