Pendidikan awal bukan sekadar kenal huruf, nombor, tetapi bentuk sahsiah kanak-kanak

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Perpaduan Bahagian Sibu, Siti Nurfatimah Hussen ketika menyampaikan Sijil Tabika Perpaduan Bahagian Sibu Tahun 2026, hari ini.

SIBU, 21 November: Pendidikan awal kanak-kanak perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada penguasaan asas akademik, malah pembentukan sahsiah, nilai murni dan keyakinan diri sebagai persediaan melahirkan generasi berkualiti.

Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu, Siti Nurfatimah Hussen berkata, pendidikan pada peringkat awal memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian kanak-kanak, selain memupuk minat terhadap pembelajaran sejak usia muda.

“Di Tabika Perpaduan, pendidikan diberikan kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Tempoh ini merupakan fasa penting dalam perkembangan mereka. Justeru, persekitaran pembelajaran yang positif dan menyeronokkan amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Penyampaian Sijil Tabika Perpaduan Bahagian Sibu Tahun 2026 dan Program Generasi Cilik: Program Integratif Tabika Perpaduan Bahagian Sibu Tahun 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri. Oleh itu, perkembangan mereka tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut mengambil kira keberanian mencuba serta penglibatan dalam pelbagai aktiviti.

Katanya, keupayaan kanak-kanak untuk tampil ke hadapan, berkomunikasi dan menyertai aktiviti merupakan petunjuk perkembangan positif yang wajar dihargai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru dan penolong guru atas dedikasi serta komitmen mereka dalam membimbing kanak-kanak sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Nurfatimah berkata, kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan pihak pengurusan amat penting bagi memastikan perkembangan kanak-kanak dapat dipupuk secara menyeluruh.

“Sokongan ibu bapa turut membantu meningkatkan keberanian anak-anak untuk menyertai program, membuat persembahan serta mencuba pengalaman baharu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Tabika Perpaduan, khususnya di Bahagian Sibu, terus menjadi pilihan ibu bapa dalam menyediakan pendidikan awal yang bukan sahaja melahirkan kanak-kanak bijak, malah memiliki sahsiah terpuji dan menghormati orang lain.

Oleh Tarani Lanting