SIBU, 21 November: Perubahan minda masyarakat, khususnya ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan perlu diberi keutamaan bagi memastikan usaha meningkatkan mutu pendidikan mencapai matlamatnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penyediaan kemudahan pendidikan, sekolah serta kelas tuisyen percuma tidak akan memberikan hasil optimum sekiranya masyarakat masih belum mengubah persepsi terhadap kepentingan ilmu.
“Jangan sekali-kali melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada guru. Guru membantu memberikan ilmu, tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan memperkukuh ilmu itu apabila anak-anak berada di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Townhall Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, hari ini.
Program anjuran Sekretariat Pendidikan STEM dan Kemahiran Profesional DUN Nangka (STEMPRO) itu turut dihadiri pengerusinya, Abg Fairul Syamil Abg Mohd.
Menurut Annuar, pendidikan memerlukan komitmen bersama semua pihak, dengan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk budaya pembelajaran anak-anak, termasuk ketika berada di rumah.
Katanya, masa di rumah perlu dimanfaatkan untuk mengukuhkan pengetahuan yang diperoleh anak-anak di sekolah, selain memupuk disiplin dan minat terhadap ilmu.
Dalam pada itu, beliau berkata masih banyak ruang untuk meningkatkan kualiti pelajar di kawasan DUN Nangka meskipun pelbagai usaha dan program pendidikan telah dilaksanakan.
Menurutnya, kemudahan dan peluang pembelajaran yang disediakan perlu disertai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan sebagai asas kejayaan anak-anak.
Sehubungan itu, beliau mengajak ibu bapa, guru dan masyarakat supaya memainkan peranan masing-masing dalam membentuk generasi berilmu serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.
Oleh Tarani Lanting




