Amanah tidak bertanding PRN Sarawak, tumpu persiapan PRU 16

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Mohamad Sabu melakukan gimik perasmian pada Majlis Konvensyen Nasional 2026 Amanah di Dewan Raja Muda Musa hari ini. Turut hadir Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil. Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 21 November: Amanah memutuskan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 12 Disember depan, bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Kita akan menumpukan kepada pilihan raya umum yang semakin dekat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2026, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata parti itu, akan menggembleng usaha, sumber dan tenaga bagi memperkukuh persiapan menghadapi PRU16.

Mohamad berkata beliau juga memahami usaha dan pengorbanan ahli parti itu yang telah menghabiskan banyak wang, masa dan tenaga sepanjang kempen pilihan raya negeri di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Terdahulu, dalam pidato presidennya, Mohamad mengingatkan ahli Amanah yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) supaya membuat persediaan rapi menghadapi PRU16, susulan kerjasama pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang telah berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata kerjasama itu berpotensi mengubah landskap persaingan pilihan raya, termasuk mewujudkan lebih banyak pertandingan satu lawan satu.

Mohamad berkata sentimen kaum serta agama juga boleh menjadi semakin kuat dengan fahaman asabiyyah demi meraih kuasa politik itu, dibimbangi boleh menghakis prinsip keadilan serta mendorong masyarakat mempertahankan kezaliman atas nama penyatuan bangsa.

“Apabila kesetiaan kepada kelompok mengatasi kesetiaan kepada kebenaran. Penyelewengan dipertahankan demi menjaga nama kumpulan. Sikap ini merosakkan pertimbangan kita,” katanya.

Mohamad berkata Islam tidak melarang semangat kekitaan atau kebanggaan terhadap bangsa sendiri, namun menolak sikap membela kelompok secara membuta tuli, walaupun melakukan kesalahan.

Beliau berkata perjuangan Islam Rahmatan Lil Alamin juga menuntut umat Islam membela sesiapa sahaja yang dizalimi tanpa mengira kaum dan agama.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen berasaskan sentimen kebencian kaum dan agama, sebaliknya mempertahankan prinsip kebenaran serta keadilan berlandaskan ilmu dan maklumat yang sahih.

Turut hadir pada konvensyen itu Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.- Bernama