SATU daripada kejayaan atau pencapaian terbesar kerajaan dalam membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram dan Katibas serta Bahagian Kapit pada keseluruhannya ialah siap sepenuhnya jalan Sibu/Kanowit ke Song dan terus ke Bandar Kapit.
Projek pembinaan jalan sepanjang 110 kilometer dengan kos RM800 juta itu, bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kepesatan pembangunan dan kemajuan Bahagian Kapit.
Malah ia memberi impak yang cukup besar kepada kawasan sekitarnya termasuk Kanowit dan Sibu.
Dengan kawasan yang dikenali sebagai ‘missing link’ sepanjang kira-kira sembilan kilometer antara Ngemah di Kanowit dan Temalat di Song, sudah siap sepenuhnya.
Bermakna berakhirlah penantian selama lebih 50 tahun masyarakat di Kapit untuk melihat jalan berkenaan siap sepenuhnya.
Paling penting, penduduk atau bagi mereka yang mahu berkunjung ke Kapit, mereka sudah ada jalan alternatif. Tidak perlu bergantung kepada jalan pengangkutan air atau bot ekspres yang hanya beroperasi mengikut jadual kebiasaannya dari jam 5.45 pagi hingga 2.30 petang sahaja.
Dari segi pemanduan pula, hanya memerlukan sekitar dua jam setengah atau 3 jam sahaja pemanduan ke Bandar Kapit jika dari Sibu. Ini jauh lebih baik terutama jika berlaku kes kecemasan dan boleh pergi ke mana-mana, walaupun pada waktu malam.
Sepanjang jalan itu juga penduduk sudah mula mendirikan rumah-rumah kebun, menjalankan aktiviti pertanian dan sebagainya. Tanah yang selama ini terbiar sudah mula dimajukan.
Secara keseluruhan ia merancakkan kegiatan sosioekonomi sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk DUN Bukit Goram dan Katibas, dan Bahagian Kapit.
PROJEK PEMBANGUNAN LAIN
Mercu tanda baharu di Bandar Kapit, Kapit Lily Pond bernilai RM12 juta yang siap pada Ogos 2021. Ia diharap dapat meningkatkan keindahan Bandar Kapit.
Selain itu ia juga memberi manfaat kepada masyarakat sebagai lokasi masyarakat setempat beriadah dan bersukan.
Selain itu, projek Kapit Town Square bernilai RM2.4 juta dan Projek Kapit Waterfront bernilai RM3.7 juta juga antara projek penting untuk mengindahkan Kapit agar menjadi tarikan kepada pengunjung.
Satu lagi projek penting di Kapit ialah Tempat Letak Kereta Bertingkat dengan kos RM12 juta. Projek yang siap pada September 2020 amat penting bagi menggurangkan serba sedikit kesesakan lalu lintas di Bandar Kapit.
Semua projek yang telah siap terbabit ialah usaha serta hasil perancangan, pemimpin di Bahagian Kapit terutama Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Ijang.