PETRA JAYA, 20 November: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipercayai berkemungkinan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau ada mendengar kemungkinan PKR akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang, namun menyerahkan kepada rakyat Sarawak untuk menilai sokongan terhadap parti berkenaan.
“Saya dengar mereka mungkin akan bertanding di negeri ini. Kita serahkan kepada rakyat Sarawak untuk melihat sama ada mereka mendapat sokongan atau tidak,” katanya.
Mengulas pendirian parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia, khususnya PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata, hubungan politik tidak seharusnya bersifat sekejap berkawan dan sekejap menjadi lawan mengikut kepentingan pilihan raya.
Menurutnya, semangat setia kawan perlu dikekalkan secara konsisten, sebagaimana yang diamalkan GPS menerusi persefahaman antara empat parti komponennya iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Beliau turut menyambut baik keputusan PAS untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini selepas sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan calon di Sebuyau, Beting Maro dan Semariang.
Katanya, keputusan itu memperlihatkan semangat setia kawan yang seharusnya menjadi asas dalam hubungan antara parti politik.
Bagaimanapun, Karim berkata, apabila sesebuah parti mengambil keputusan meletakkan calon pada pilihan raya, parti-parti yang bertanding sememangnya akan menjadi pesaing sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Muzium Sarawak sempena ulang tahun ke-135 Bangunan Lama Muzium Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
PKR bukanlah parti baharu dalam persaingan PRN Sarawak apabila pernah bertanding di 25 kerusi pada PRN 2006 sebelum memenangi satu kerusi. Pada PRN 2011, parti itu meningkatkan penyertaan kepada 49 kerusi dan berjaya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRN 2016, PKR sekali lagi memenangi tiga kerusi, antaranya melalui See Chee How di Batu Lintang, Ali Biju di Krian dan Baru Bian di Ba’Kelalan.
Bagaimanapun, prestasi parti itu merosot pada PRN 2021 apabila bertanding di 28 kerusi tetapi gagal memenangi sebarang kerusi. Pilihan raya itu menyaksikan GPS menguasai 76 daripada keseluruhan 82 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan hanya memenangi dua kerusi menerusi
Oleh Shahrul Qaizat




