PETRA JAYA, 20 November: “Kalau mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan negara sendiri menjadi penyeludup dadah, apakah keyakinan yang rakyat boleh berikan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau agensi keselamatan lain?”
Demikian reaksi keras Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah terhadap pendedahan kegiatan penyeludupan dadah berskala besar yang didakwa membabitkan anggota keselamatan serta penyalahgunaan aset TUDM.
Beliau yang melahirkan rasa terkejut, marah dan kecewa terhadap pendedahan itu menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai sesuatu yang memalukan negara, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang diberikan amanah menjaga keselamatan rakyat.
“Saya sangat kecewa dan marah apabila membaca perkara ini. Mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan negara, tetapi mahu menjadi kaya-raya dengan menyeludup dadah menggunakan pesawat TUDM.
“Kalau mereka yang berpangkat tinggi pun sudah terlibat dalam perkara seperti ini, susahlah negara kita hendak maju. Ini memalukan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Muzium Sarawak sempena ulang tahun ke-135 Bangunan Lama Muzium Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Karim berkata, Kerajaan Persekutuan perlu lebih tegas dalam memastikan individu yang diberikan tanggungjawab menerajui institusi keselamatan negara benar-benar mempunyai integriti dan tidak menyalahgunakan kedudukan masing-masing.
Menurutnya, penglibatan anggota keselamatan dalam kegiatan jenayah berat bukan sahaja mencemarkan imej institusi berkenaan, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keselamatan negara.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa tindakan undang-undang paling tegas dikenakan terhadap mereka yang terbukti terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah, tanpa mengira pangkat atau jawatan.
“Undang-undang mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Kalau mereka perlu ditembak dan dibunuh, bunuh mereka. Mereka tidak layak berada di situ dan patut berdepan skuad penembak.
“Itu pandangan saya. Saya tahu kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi, tetapi perkara ini sudah keterlaluan,” tegasnya.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan Sarawak dijadikan laluan transit penyeludupan dadah, Karim tidak menolak risiko sebahagian bekalan dadah yang melalui negeri ini turut memasuki pasaran tempatan.
Beliau berkata, kegiatan penyeludupan dadah melalui Miri sebelum ini sering dikaitkan dengan dakwaan bahawa bahan terlarang berkenaan hanya menggunakan Sarawak sebagai laluan transit ke destinasi lain.
Bagaimanapun, katanya, tidak dapat dipastikan sama ada keseluruhan bekalan dadah tersebut benar-benar dihantar ke luar negeri atau sebahagiannya diedarkan untuk kegunaan tempatan.
“Mereka selalu mengatakan dadah itu hanya transit. Tetapi apabila transit, sudah tentu ada kemungkinan sebahagiannya tertinggal di tempat persinggahan.
“Saya tidak pasti sama ada dadah yang masuk melalui Miri itu hanya untuk transit atau untuk penggunaan tempatan, tetapi hakikatnya kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar semakin tidak terkawal,” katanya.
Karim turut memaklumkan bahawa beliau difahamkan dadah yang dikaitkan dengan kes penyeludupan terbaharu itu dipercayai dibawa ke Sabah, dengan kemungkinan dihantar ke Filipina.
Namun, beliau menegaskan perkara tersebut masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan.
Beliau turut mempersoalkan kelemahan pentadbiran dan pengawasan yang membolehkan kegiatan jenayah sedemikian berlaku dalam institusi yang sepatutnya menjadi benteng keselamatan negara.
“Apa sudah jadi dengan kita? Di mana amanah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju?
“Kalau sistem pentadbiran sudah rosak, inilah yang akan berlaku,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan dadah dan rasuah yang membabitkan anggota keselamatan, termasuk pegawai TUDM, kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, lima pegawai TUDM antara 11 individu yang ditahan di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran 96.64 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta menggunakan aset ketenteraan.
Terbaharu, dua anggota TUDM masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran 2 direman selama tujuh hari di Tawau bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat




