LONDON, 19 November: Mauricio Pochettino berkata beliau mahu mengurangkan tekanan terhadap pemain Manchester United yang berdepan prestasi kurang memberangsangkan ketika membuat persiapan menghadapi cabaran getir menentang Liverpool.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Chelsea itu, yang menamatkan tugasnya sebagai ketua jurulatih Amerika Syarikat hanya beberapa hari lalu, berkata beliau akan memulakan segala-galanya dari awal sebagai pengurus baharu di Old Trafford.
Pochettino, 54, yang menggantikan Michael Carrick selepas dipecat, berdepan tugas berat apabila kelab yang pernah 20 kali menjuarai liga England itu kini berada di zon penyingkiran susulan permulaan terburuk kempen liga mereka dalam tempoh 40 tahun.
Dalam temu bual penuh pertamanya bersama media dalaman kelab hari ini, pengendali dari Argentina itu berkata beliau mahu memberikan kebebasan kepada pemain untuk menyerlahkan kemampuan masing-masing dalam usaha membentuk budaya kemenangan.
“Pemain perlu menonjolkan bakat mereka. Kita perlu mewujudkan persekitaran dan platform yang membolehkan mereka beraksi dengan baik.
“Itulah perkara paling penting dan menjadi keutamaan kami ketika ini. Kami perlu bekerja bersama mereka dan berusaha mengurangkan tekanan.
“Tekanan sepatutnya memberikan tenaga, begitu juga tanggungjawab. Jika tidak, terlalu berat untuk memikul semua tekanan dan tanggungjawab itu.
“Apabila anda benar-benar menghayati permainan, anda akan melakukannya menerusi bakat sendiri. Apabila anda mempunyai kebebasan, berasa gembira dan mahu bermain demi rakan sepasukan, keluarga, kelab serta penyokong, itulah suasana yang perlu kita wujudkan bersama,” katanya.
Pochettino mengakui beliau berdepan tugas sukar di Anfield, gelanggang musuh ketat United, pada Ahad, namun berikrar untuk tampil berani.
“Kami akan ke Anfield dengan matlamat untuk menang, bermain dengan berani dan menunjukkan identiti Manchester United.
“Sejarah kelab ini menggambarkan apa yang perlu kami harapkan dan apa yang akan dijangkakan daripada Manchester United.
“Kami perlu memastikan pasukan berani, menguasai permainan serta turun ke gelanggang tanpa rasa takut untuk mencabar pasukan Liverpool yang sangat baik,” katanya.
Pochettino berkata beliau pernah menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999 di Barcelona, ketika Manchester United kendalian Alex Ferguson bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Bayern Munich 2-1.
Pochettino, yang ketika itu merupakan pemain Espanyol, berkata beliau turut “bersorak untuk Manchester United”.
“Sejak itu, saya begitu teruja melihat Manchester United, lebih-lebih lagi kerana kekaguman saya terhadap Sir Alex Ferguson — bagi saya, beliau jurulatih terbaik dalam sejarah sukan ini. Saya sentiasa mengaguminya,” katanya.
Pochettino akan mengadakan sidang media pertamanya sebagai pengurus Manchester United pada Jumaat. – AFP




