Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, langkah strategik perkasa sektor pelabuhan Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa pada Majlis Penghargaan Libat Urus Program MIPD 2026 di sini, malam tadi. Foto: Douglas Uggah Embas Official

KUCHING, 19 November: Sarawak terus melakar langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelabuhannya menerusi penyusunan semula tadbir urus, pengukuhan pentadbiran dan pelaksanaan projek infrastruktur utama bagi meningkatkan kecekapan perdagangan serta pengendalian kargo di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tempoh 2022 hingga 2026 menyaksikan beberapa pencapaian signifikan yang memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan sistem pengurusan pelabuhan yang lebih bersepadu, moden dan berdaya saing.

Menurut beliau, antara perkembangan paling penting ialah pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu yang secara rasmi menjadi milik Sarawak pada 1 September tahun ini.

“Lembaga Pelabuhan Bintulu secara rasmi menjadi milik kita pada 1 September 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Libat Urus Program Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) 2026 di sini, malam tadi.

Beliau berkata, langkah itu disusuli dengan penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak, sebuah badan berkuasa pelabuhan tunggal yang mula berkuat kuasa pada 1 November 2026 bagi menyelaraskan tadbir urus dan pengurusan pelabuhan di seluruh negeri.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, selain pembaharuan dari aspek pentadbiran, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur sokongan yang mampu meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.

Antaranya ialah Projek Pengerukan Alur Pelayaran Kuala Baram, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor perdagangan dan logistik khususnya di wilayah utara Sarawak.

“Projek Pengerukan Alur Pelayaran Kuala Baram merupakan satu perubahan besar dalam memudahkan perdagangan dan pengendalian kargo di wilayah utara Sarawak,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepimpinan dan keupayaan beliau meningkatkan hasil negeri yang membolehkan pelbagai projek pembangunan strategik dilaksanakan.

“Semua pencapaian ini dapat direalisasikan hasil kepimpinan Premier. 

“Keupayaan beliau meningkatkan hasil negeri telah menyediakan sumber kewangan untuk membiayai projek-projek tersebut. Oleh itu, kita juga harus merakamkan penghargaan kepada Premier,” katanya.

Uggah menegaskan bahawa usaha memperkukuh sektor pelabuhan akan terus menjadi agenda penting kerajaan negeri dalam meningkatkan kecekapan logistik, menyokong pertumbuhan perdagangan dan memperkukuh daya saing ekonomi Sarawak di peringkat serantau serta antarabangsa.

Oleh Adi Safarman