KUCHING, 19 November: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menerangi Taman Tebingan Sungai Batu Kawa dengan cahaya biru selama tiga malam berturut-turut, bermula malam ini hingga 21 November, sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai berkata, penyalaan lampu itu adalah bagi menyokong kempen Go Blue for Every Child anjuran UNICEF Malaysia dan mencerminkan komitmen MPP sebagai calon Bandar Mesra Kanak-Kanak.
Majlis kira detik penyalaan lampu itu berlangsung di Sky Window, Taman Tebingan Sungai Batu Kawa, petang tadi.
Tan berkata, MPP akan terus melaksanakan program di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) bagi memastikan setiap kanak-kanak dihargai, dilindungi dan diberi peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing.
Menurutnya, usaha itu sebahagian daripada komitmen MPP untuk menjadikan Padawan kawasan yang mampan, inklusif dan selesa didiami dengan mengutamakan kesejahteraan serta perkembangan kanak-kanak.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Am dan Pembangunan Komuniti, Kaunselor Samsudin Sapri, Setiausaha Perbandaran, Ir Ts Goh Thiam Ho, serta ahli majlis MPP dan kanak-kanak.
Oleh Connie Chieng



