Pembangunan Bukit Begunan perlu sokongan dan kerjasama semua pihak – Mong

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang semasa Program Turun Padang ke Rumah Achang, Skirau Ili, Tanjung Bijat dan Rumah Jalong, Jungkong Balau. Foto Unit Media dan Komunikasi DUN N31 Bukit Begunan

LINGGA, 19 November: Program Turun Padang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang diteruskan menerusi kunjungan ke Rumah Achang, Skirau Ili, Tanjung Bijat dan Rumah Jalong, Jungkong Balau, hari ini.

Mong yang juga Naib Presiden Kanan Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, kerjasama masyarakat setempat amat penting bagi memastikan urusan penyaluran peruntukan serta pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan masing-masing berjalan lancar.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Bukit Balau dan Tanjung Bijat atas sokongan serta kerjasama yang diberikan selama ini.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu melancarkan urusan penyaluran peruntukan dan pelaksanaan projek RTP. Saya juga amat menghargai setiap sokongan, kerjasama serta pandangan yang disampaikan oleh penduduk,” katanya.

Menyentuh perkembangan pembangunan Sarawak, Mong mengimbau kembali keadaan kewangan negeri ketika beliau mula dipilih sebagai wakil rakyat, apabila belanjawan tahunan negeri ketika itu berada sekitar RM1 bilion hingga RM3 bilion.

Menurutnya, peruntukan tahunan kepada setiap ADUN pada masa itu juga hanya sekitar RM100,000 hingga RM200,000.

Bagaimanapun, landskap pembangunan negeri kini memperlihatkan perubahan ketara apabila hasil Sarawak bagi 2027 diunjurkan mencecah RM15.091 bilion.

“Perkembangan ini memperlihatkan keupayaan kewangan Sarawak yang semakin berkembang serta usaha berterusan kepimpinan negeri dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

“Segala perancangan pembangunan ini juga perlu bergerak seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa PRS merupakan salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau turut menjelaskan bahawa hanya seorang calon akan dipilih untuk mewakili GPS bagi setiap kawasan pilihan raya.

Mengulas mengenai maklum balas masyarakat, Mong berkata beliau sentiasa menghargai setiap pandangan, cadangan dan luahan rakyat yang disampaikan sepanjang program turun padang.

Katanya, setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, namun ia wajar dilakukan secara berhemah dan penuh rasa hormat tanpa melibatkan serangan peribadi.

Beliau berharap hubungan baik antara wakil rakyat dengan masyarakat terus diperkukuh bagi memastikan setiap keperluan penduduk dapat diberi perhatian, sekali gus menyokong kelancaran agenda pembangunan di kawasan Bukit Begunan.

Oleh Adi Safarman