TEBEDU, 19 November: Penduduk Kampung Kujang Sain, Kampung Daha Kisau serta kawasan sekitarnya bakal menikmati kemudahan perhubungan lebih baik menerusi pembinaan jalan pertanian baharu sepanjang empat kilometer yang melibatkan kos RM6.4 juta.
Projek yang menghubungkan Kampung Kujang Sain dengan Kampung Daha Kisau itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan aksesibiliti, selain merancakkan aktiviti ekonomi dan sosioekonomi penduduk setempat.
Majlis perasmian pembinaan projek berkenaan disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, di Kampung Kujang Sain, dekat sini semalam.
Turut hadir penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada.
Projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada 9 Mac 2026 dan dijadualkan siap pada 8 Mac 2027.
Sagah yang juga Pengerusi GKCDA berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirancang dan bukannya bertujuan untuk kempen politik.
Apabila siap kelak, jalan baharu itu akan menyediakan laluan lebih baik, selamat dan selesa, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta urusan harian masyarakat di kedua-dua kampung.
Kemudahan infrastruktur berkenaan juga dijangka membantu melancarkan pengangkutan hasil pertanian dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Majlis perasmian dan penyerahan tapak projek itu turut dihadiri Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben; Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik serta Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong.
Oleh Adi Safarman



